
Tan Bee Geok, 64, pengasas bersama dan timbalan pengerusi syarikat pengeluar sarung tangan gergasi itu, menyaman Thai berhubung beberapa mesej teks dan kenyataan lisan didakwa dibuat kepada keluarga dan rakan-rakan tiga tahun lalu.
Kenyataan dibuat itu didakwa Tan bertujuan memalukannya sebagai ibu, ahli keluarga dan ketua perniagaan.
Dengan perbicaraan dijadual bermula 23 Julai ini, Thai memohon Mahkamah Tinggi mengenakan perintah larangan menyeluruh bagi mengelakkan sebarang kerosakan terhadap reputasi peribadi dan profesionalnya.
Thai juga ingin melindungi beberapa saksi berprofil tinggi yang beliau berhasrat untuk dipanggil bagi memberikan keterangan bagi pihaknya.
Permohonan itu menimbulkan persoalan undang-undang yang signifikan dan berkemungkinan belum pernah berlaku di Malaysia: bolehkah seorang defendan yang dituduh dalam saman fitnah merosakkan reputasi plaintif, menghalang orang awam daripada mengikuti prosiding dimulakan plaintif untuk mengembalikan reputasinya?
FMT difahamkan, dalam permohonan difailkan minggu lalu, Thai memohon mahkamah supaya perbicaraan itu dijalankan secara tertutup, semua dokumen mahkamah dimeterai dan media dilarang membuat liputan terhadap prosiding itu.
Beliau mendakwa perbicaraan itu menyentuh perkara sulit dan peribadi. Katanya, ia hanya melibatkan hal keluarga dan bukan kepentingan awam.
Thai, 65, difahamkan akan memanggil beberapa individu terkenal untuk memberi keterangan, termasuk bekas pemain badminton kebangsaan, ahli perniagaan terkemuka dan pengurus kepada artis antarabangsa.
Ahli perniagaan itu tidak menamakan saksinya, namun berkata salah seorang daripada mereka bakal melangsungkan perkahwinan dan tidak mahu hubungan cinta masa lalu didedahkan kepada umum.
Permohonan difailkan peguam Thai, Shearn Delamore & Co, turut memohon langkah perlindungan lain, termasuk perintah agar semua transkrip mahkamah kekal sulit dan hanya untuk pihak terlibat serta peguam mereka. Beliau juga mahu semua penulis transkrip menandatangani perjanjian kerahsiaan.
Kes ditetapkan untuk pengurusan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Eddie Yeo pada 23 Julai ini.
Tan diwakili peguam S Ravenesan.
Thai dan Tan adalah pemilik bersama Supermax Holdings Sdn Bhd, pemegang saham utama dalam Supermax Corporation Berhad, salah satu pengeluar sarung tangan getah terkemuka dunia.
Pasangan itu berkahwin pada 1987, namun hubungan mereka mula regang akibat pelbagai dakwaan daripada kedua-dua pihak.
Pada 2022, Tan memohon pengisytiharan pemisahan kehakiman. Thai memfailkan permohonan cerai pada April tahun lalu. Prosiding itu masih berjalan di mahkamah keluarga.