Polis catat 138 kematian jalan raya hari ke-9 Op Selamat sehingga Ahad

Polis catat 138 kematian jalan raya hari ke-9 Op Selamat sehingga Ahad

Jumlah kematian tertinggi masih melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan 94 kematian direkodkan.

Selangor merekodkan kes kematian jalan raya paling tinggi iaitu 24 kes, diikuti Johor (16) kes, Sarawak (16), manakala Kedah 13 kes, sepanjang 9 hari Op Selamat bermula 18 Jan hingga 1 Feb ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis merekodkan 138 kematian daripada 127 kes kemalangan maut sehingga Ahad, iaitu hari ke-9 sejak Op Selamat 16/2020 dilancarkan 18 Jan lepas sempena Tahun Baru Cina.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata jumlah kematian tertinggi masih melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan 94 kematian direkodkan.

Menurut beliau, Selangor merekodkan kes kematian paling tinggi iaitu 24 kes, diikuti Johor (16 kes), Sarawak (16) manakala Kedah sebanyak 13 kes.

“Dalam tempoh berkenaan, 14,087 kes nahas jalan raya direkodkan dengan Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 4,089 kes diikuti Johor (2,194), Kuala Lumpur (1,616) dan Pulau Pinang (1,147),” katanya, dalam satu kenyataan di sini.

Sebanyak 233,454 saman turut dikeluarkan dengan 146,008 saman yang merangkumi 6 kesalahan utama, antaranya menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Jan akan berterusan sehingga 1 Feb ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.