11 askar AS dirawat selepas serangan peluru berpandu Iran

11 askar AS dirawat selepas serangan peluru berpandu Iran

AS pada awalnya mengatakan tiada anggotanya cedera dalam serangan peluru berpandu pada 8 Jan.

(Gambar AP)
WASHINGTON:
Amerika Syarikat merawat 11 askarnya kerana simtom-simtom konkusi selepas satu serangan peluru berpandu Iran terhadap sebuah pangkalan Iraq di mana tentera AS ditempatkan, kata tentera AS semalam, selepas pada awalnya mengatakan tiada anggota cedera.

Serangan itu tindakan balas terhadap serangan dron AS di Baghdad pada 3 Jan yang membunuh Qasem Soleimani, komander Pasukan Quds bawah Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.

Presiden Donald Trump dan tentera AS berkata tiada kecederaan atau kematian selepas serangan ke atas pangkalan udara Ain al-Asad dan sebuah fasiliti di wilayah Kurdi.

“Walaupun tiada anggota AS terbunuh dalam serangan Iran pada 8 Jan ke atas pangkalan udara Al Asad, beberapa anggota dirawat kerana mengalami simtom-simtom konkusi akibat letupan dan sedang menjalani pemeriksaan,” kata jurucakap tentera AS, Kapten Bill Urban dalam kenyataan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa anggota tentera dibawa ke fasiliti AS di Jerman atau Kuwait untuk pemeriksaan susulan, katanya.

“Apabila dianggap sihat untuk bertugas, anggota berkenaan dijangka kembali ke Iraq.”

Seramai 1,500 askar AS ditempatkan di pangkalan yang terletak di padang pasir Anbar di Iraq.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.