
Beliau menyifatkan serangan itu keji dan tidak adil serta berikrar menghukum pihak bertanggungjawab.
Di Baghdad, Xinhua melaporkan kumpulan bersenjata Syiah Iraq mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan dron ke atas tiga pangkalan AS di Syria dan kemudahan tentera laut di Israel.
Kumpulan itu dalam kenyataan berkata, pejuangnya melancarkan dron sarat bahan letupan di tiga pangkalan tentera AS di Syria, termasuk pangkalan al-Shaddadi, pangkalan al-Tanf dan kem tentera Rukban dekat sempadan Syria, Iraq dan Jordan.
Dron keempat pula menyasarkan kemudahan tentera laut Zevulun dekat bandar pelabuhan Haifa di Israel.
Katanya, serangan itu sebahagian daripada siri tindak balas terhadap tentera AS di tengah-tengah konflik berterusan Israel-Hamas di Semenanjung Gaza.
Menteri Komunikasi Jordan, Muhannad Mubaidin pada Ahad mengesahkan kepada stesen televisyen Al Mamlaka bahawa serangan itu menyasarkan pangkalan al-Tanf di tenggara Syria dan tiada serangan menyasarkan tentera AS di negara itu.