
New York Times pada Isnin memetik kumpulan sokongan dan penyelidik sebagai berkata, terdapat peningkatan serangan fizikal dan lisan terhadap orang Asia-Amerika yang dilaporkan media ketika virus itu merebak di AS.
Minggu lalu, Trump terus memperhebatkan retoriknya terhadap China berhubung Covid-19 dengan berkata, Beijing sepatutnya bertindak lebih cepat untuk memberi amaran kepada dunia selepas penularan virus itu di republik terbabit.
Beliau juga menolak kritikan terhadap tindakannya menggunakan label “virus China” sebagai rasis.
Beliau enggan menjawab pertanyaan wartawan pada Rabu sama ada ia berpotensi membahayakan rakyat AS berbangsa Asia kerana melabelkan Covid-19 sebagai “virus China” dan tindakan seorang pegawai White House menggelarnya “kung flu”.
Isnin lalu, Trump melalui Twitternya berkata: “Sangat penting untuk kita melindungi komuniti Asia Amerika di AS dan seluruh dunia.
“Mereka ialah orang menakjubkan dan penyebaran virus itu….bukan salah mereka dalam apa jua cara atau bentuk. Mereka bekerjasama rapat dengan kami untuk memeranginya. KITA AKAN ATASINYA BERSAMA!”
Trump mengulangi kenyataannya pada sidang media dengan pasukan petugas Covid-19. Ditanya apa yang mendorongnya berbuat demikian, beliau menjawab:
“Nampaknya mungkin sedikit bahasa kasar akan dilemparkan kepada komuniti Asia-Amerika di negara kita dan saya tidak sukakannya sama sekali…jadi saya mahu tegaskan kerana mereka menyalahkan China dan mereka membuat tuduhan terhadap rakyat AS berketurunan Asia dan saya tidak akan membiarkannya.”
Trump berulang kali mengkritik China dan caranya menangani penularan Covid-19, namun beliau elak mengkritik Presidennya, Xi Jinping.
Jumaat lalu, Trump dilaporkan berkata, beliau amat menghormati China dan Xi, tetapi malangnya Covid-19 bermula di China dan gagal dikawal.
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata, kelewatan Beijing berkongsi maklumat mengenai virus itu membawa risiko kepada masyarakat dunia.
Pada masa sama, Trump dan pentadbirannya menepis cubaan beberapa pegawai China mendakwa virus itu berpunca daripada tentera AS.
Bercakap kepada Axios dan HBO pada hujung minggu lalu, duta China ke Washington menjauhkan diri daripada seorang jurucakap Kementerian Luar yang menyalahkan tentera AS terhadap penularan Covid-19 dengan berkata, menjadi tanggungjawab saintis untuk menentukan punca penularan virus itu, bukannya diplomat.
Cui Tiankai berkata, AS dan Beijing perlu bekerjasama untuk memerangi virus itu dan berharap orang ramai akan mematuhi peraturan Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta mengelak mewujudkan stigma dengan mengaitkan virus itu kepada kawasan tertentu.