
“Peliharalah kami daripada ajaran yang terkeluar daripada Islam seperti Ahmadiah atau Qadyani dan ajaran-ajaran yang difatwakan sesat seperti Syiah dan Ajaran Kumpulan Al-Arqam,” menurut teks ucapan khutbah Jumaat pada 10 Jan.
Perkembangan itu disahkan oleh Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abd Wahid kepada FMT, ketika dihubungi untuk mengesahkan kandungan khutbah itu.
“Saya percaya, kalau sudah ada, ajaran berkenaan masih aktif dalam Selangor,” katanya, dan menambah peringatan akan diberi kepada umat Islam di Selangor supaya menghindari mana-mana ajaran “salah” dan “sesat” yang masih lagi aktif.
“Telah diwartakan kumpulan itu menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” tambahnya.
Al-Arqam, yang terkenal dengan kegiatan dakwah dan keusahawanan, diharamkan oleh kerajaan persekutuan pada Okt 1994 selepas ia difatwa sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos tahun sama.
Pemimpin utama Al-Arqam, Ashaari Mohammad, bersama 17 individu lain pernah ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Jurucakap Jabatan Agama Islam Selangor ketika dihubungi mengenai doa dalam khutbah Jumaaat itu berkata pihaknya belum mahu membuat sebarang ulasan mengenai Al-Arqam pada ketika ini.
“Tiada komen lagi buat masa ini,” kata jurucakap itu.