
Teks khutbah disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertajuk ‘Musibah Banjir: Ujian dan Peringatan Ilahi’ mentakrifkan makna perkataan musibah yang berasal daripada bahasa Arab iaitu ‘asoba’ bermaksud menimpa atau membinasakan, seterusnya musibah dilihat sebagai satu bentuk ujian dan teguran daripada Allah termasuk melalui bencana atau kehilangan harta.
“Khutbah mendoakan agar musibah banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan di negara kita, turut ditafsirkan sebagai teguran daripada Ilahi untuk kita secara ikhlas melakukan pemeriksaan diri dan berani mengaku kesilapan yang mungkin telah kita lakukan atau kesilapan yang telah dilakukan oleh orang yang terdahulu daripada kita.
“Ketika diamanahkan tanggungjawab untuk mengurus bumi, gunung, hutan, sungai, tasik dan pantai. Lakukanlah langkah-langkah pembetulan agar orang yang tidak berdosa terhindar daripada menjadi mangsa kepada bencana yang lebih besar pada masa akan datang,” menurut khutbah seperti dilaporkan Utusan Online.
Khutbah juga menyentuh mengenai pengalaman dahsyat dialami mangsa banjir yang dilihat menerusi media termasuk media sosial.
“Rintihan dan tangisan kesengsaraan mangsa banjir terutama orang tua, kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang sedang mendakap bayi yang memerlukan susu yang berada dalam kesejukan di atas bumbung-bumbung bangunan sangat menyayat hati. Mangsa-mangsa banjir ini amat wajib dihulurkan pertolongan,” kata khutbah berkenaan.
Kandungan khutbah juga mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan kesediaan sebahagian daripada masyarakat yang turun padang membantu mangsa banjir dan mereka yang telah memberi pelbagai sumbangan berbentuk idea, perkhidmatan, tenaga, harta, wang ringgit serta sokongan moral.
Dalam masa yang sama, kandungan teks khutbah turut menasihatkan agar masyarakat menghulurkan bantuan dan pertolongan dengan hati yang ikhlas dan niat yang suci semata-mata kerana Allah SWT.
“Hindari perbuatan menunjuk-nunjuk, melakonkan perbuatan untuk dirakamkan oleh jurufoto dengan niat mendapat siaran media atau hasrat mendapat pujian hingga mengakibatkan kita bakal tergelincir bersifat riak.
“Sedarilah Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Melihat,” kata khutbah tersebut.