JAIPk mula siasat dakwaan imam tak baca teks khutbah rasmi

JAIPk mula siasat dakwaan imam tak baca teks khutbah rasmi

Timbalan Pengarah JAIPk Zakaria Abd Razak berkata siasatan dimulakan 3 Feb lalu.

Timbalan Pengarah JAIPk Zakaria Abd Razak berkata pegawai masjid harus menghormati pihak berkuasa agama kerana JAIPk bertanggungjawab menentukan kandungan khutbah sesuai.
PETALING JAYA:
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mula menyiasat imam sebuah masjid di Teluk Intan yang didakwa tidak membaca teks khutbah disediakannya.

Timbalan Pengarah JAIPk Zakaria Abd Razak berkata siasatan dimulakan 3 Feb lalu selepas menerima laporan berkaitan.

Beliau berkata, JAIPk akan mengambil tindakan lanjut selaras Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018.

“Pegawai masjid harus menghormati pihak berkuasa agama kerana JAIPk bertanggungjawab menentukan kandungan khutbah yang sesuai. Oleh itu, pegawai masjid harus menunaikan amanah dengan baik dan mengikuti peraturan ditetapkan.

“Sekiranya kesalahan ini berulang, tindakan selanjutnya akan diambil selaras peraturan sedia ada,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau mengingatkan semua pegawai masjid mematuhi garis panduan JAIPk agar khutbah disampaikan memberi manfaat, menjaga keharmonian umat dan mengelakkan perpecahan.

“Pegawai masjid perlu mematuhi arahan JAIPk dengan membaca teks khutbah rasmi yang disediakan. Ini penting untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan jemaah dan memastikan mesej disampaikan selari garis panduan agama serta pihak berkuasa.

“Khutbah rasmi juga bertujuan memastikan rukun-rukun khutbah yang lengkap, menyatukan umat Islam dan memastikan penyelarasan dalam penyebaran maklumat dalam masyarakat.”

Pada 3 Feb lalu, polis menyerahkan siasatan kes khatib tidak membacakan khutbah Jumaat disediakan pihak berkuasa agama negeri kepada JAIPk untuk siasatan lanjut, selepas merakam keterangan dua individu yang tampil membuat laporan polis.

Terdahulu, bekas Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim membuat laporan polis mendakwa seorang imam di sebuah masjid Teluk Intan enggan membaca teks khutbah terkini disediakan JAIPk, sebaliknya menggunakan teks 2023.

Imam bertugas di Masjid Sultan Idris Shah II, Teluk Intan itu kemudian membuat laporan polis mendakwa bekas Adun itu memfitnahnya berhubung isu khutbah Jumaat.

Mohamad Lotfi Samsudin dilaporkan berkata tuduhan Hasnul Zulkarnain bahawa dirinya melanggar titah Sultan Perak tidak berasas sama sekali dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.