Polis Selangor serah kepada SPRM siasat anggotanya peras ugut orang kampung

Polis Selangor serah kepada SPRM siasat anggotanya peras ugut orang kampung

Polis Selangor tidak menerima sebarang maklumat berhubung dakwaan itu termasuk anggota polis meminta wang sehingga RM27,000 daripada penduduk.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin.
PETALING JAYA:
Polis Selangor menyerahkan sepenuhya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap anggotanya jika benar dakwaan mereka memeras ugut penduduk Kampung Sungai Buloh.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung dakwaan itu.

“Kami tidak tahu isu-isu itu, biar SPRM siasat, kalau ada asas kukuh mengatakan mereka (anggota polis) terlibat, SPRM kuasa mereka ambil tindakan dan maklum kepada kami.

“Pihak kami tidak menerima apa-apa laporan berhubung dakwaan itu, sebab laporan hanya dibuat kepada SPRM, jadi kita tunggu siasatan SPRM,” katanya kepada FMT.

Semalam, seorang wakil penduduk Sungai Buloh membuat laporan kepada SPRM mendakwa polis menahan anak muda di kampungnya untuk memeras ugut keluarga mereka.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Iwan, 50, mendakwa sekumpulan anggota polis dari “Narko Subang” menjalankan operasi menahan anak muda di kampungnya setiap Jumaat, sejak tahun lalu.

Katanya, ada yang terpaksa membayar sehingga RM27,000 untuk membebas serta mengelak anak atau pekerja mereka didakwa di mahkamah.

“Setakat ini, ada ibu bapa yang kena bayaran paling rendah RM1,000 manakala yang paling tinggi, seorang kontraktor membuat bayaran sebanyak RM27,000 untuk bebaskan 4 pekerjanya yang ditahan,” kata Iwan.

Noor Azam turut memaklumkan, pihaknya akan menunggu laporan penuh SPRM, jika terhadap pegawainya dibuktikan bersalah, pihaknya akan melakukan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Kalau SPRM siasat dan mereka ambil tindakan dakwa dan sebagainya, selepas itu baru kita akan ambil tindakan juga, kita tunggu siasatan SPRM dulu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata 7 anggota polis bahagian nakotik pernah disiasat SPRM termasuk dari Sungai Buloh berhubung salah laku rasuah.

“Ada kes lama di mana 7 orang ditangkap SPRM membabitkan anggota nakotik, dan kes ini dipanjangkan lagi di mana siasatan SPRM masih berjalan,” katanya sambil memaklumkan beliau tidak pasti sama ada laporan yang dibuat oleh individu itu semalam mempunyai kaitan kes terdahulu atau anggota baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.