Lapor dakwaan ‘wang perlindungan’ di Pasar Borong Selayang, gesa SPRM

Lapor dakwaan ‘wang perlindungan’ di Pasar Borong Selayang, gesa SPRM

Dakwaan peniaga beri wang kepada pihak berkuasa bukan perkara baharu, dan SPRM mahu maklumat tepat daripada pengadu.

bribery rasuah
SPRM gesa dakwaan peniaga di Pasar Borong Selayang terpaksa bayar wang perlindungan dilaporkan kepadanya.
SHAH ALAM:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta pihak mendakwa terpaksa membayar ‘wang perlindungan’ kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan di Pasar Borong Selayang tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan menyeluruh.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata dakwaan peniaga memberi wang kepada pihak berkuasa bukan perkara baharu, namun tuduhan yang hanya dibuat melalui media dan media sosial tanpa laporan rasmi tidak menyelesaikan masalah.

“Ia isu lama tentang peniaga mendakwa memberi wang kepada agensi penguat kuasa. Saya berharap mereka yang mendakwa ini datanglah kepada SPRM.

“Kita sudah ada undang-undang dan mereka juga tertakluk kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat. Perkara ini telah kita hebahkan berulang kali,” katanya, selepas majlis SPRM bersama Universiti Teknologi Mara.

Menurut Azam, dakwaan yang dibuat secara umum juga tidak adil kepada agensi penguat kuasa yang dituduh tanpa bukti kukuh.

“Kalau mereka setakat bercakap dengan media atau media sosial, perkara ini tidak akan selesai. Bila menuduh agensi penguat kuasa secara umum, pada saya itu tidak adil,” katanya.

Azam berkata SPRM juga perlu berlaku adil kepada semua pihak termasuk individu atau agensi yang ditohmah menerima rasuah serta pihak didakwa memberi.

Untuk berlaku adil, pihaknya tidak akan membuka kertas siasatan tanpa menerima maklumat yang benar dan tepat daripada pengadu.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan bahawa peniaga di Pasar Borong Selayang terpaksa membayar wang perlindungan kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan dijalankan baru-baru ini.

Pada 7 Dis lepas, 843 pendatang tanpa izin termasuk 35 wanita, ditahan atas pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen, dalam satu operasi bersepadu di Pasar Borong Selayang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.