
Presiden PKR itu berkata, penjelasan itu perlu kerana wujud kebimbangan berhubung kerahsiaan dan individu ternama.
“Saya rasa dia perlu beri penjelasan lanjut sebab ada kebimbangan tentang kerahsiaan (kerajaan) dan susuk peribadi suami isteri.
“Hujah bahawa keadilan dan akta maklumat itu perlu juga. Ini mungkin perlu dirujuk ke mahkamah,” katanya selepas menghadiri forum di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Rabu lalu, SPRM mengadakan sidang media untuk mendedahkan 9 rakaman audio dikatakan antara Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.
Agensi anti-rasuah itu berkata, individu lain terbabit dalam perbualan itu ialah bekas peguam negara, Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali, Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim, bekas ketua pegawai eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin, Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman dan bekas pengarah kewangan Ihsan Perdana, Abdul Aziz Ismail.
Selain putera mahkota UAE, warga asing lain yang terbabit ialah Presiden UAE, Khalifa bin Zayed Al Nahyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Development Company dari Abu Dhabi, Khaldoon Al-Mubarak.
SPRM berkata, klip audio itu dirakamkan dari 5 Jan hingga 29 Julai 2016 yang menunjukkan seolah-olah wujud konspirasi untuk memanipulasi maklumat.
Anwar berkata, beliau tidak pasti sama ada pendedahan SPRM itu boleh mengganggu perbicaraan kes Najib di mahkamah.
“Saya fikir wajar perkara ini serah pada polis dan dirujuk kepada mahkamah, kalau ada bukti yang dapat disahkan.”
Kes video seks gay
Anwar berkata, ia adalah keputusan Jabatan Peguam Negara tidak membuat pendakwaan bagi kes video seks sejenis menyasarkan seorang menteri yang tersebar Jun tahun lalu.
“Peguam negara buat keputusan berdasarkan bukti yang diperolehinya. Saya rasa biarkanlah.”
Khamis lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas dilaporkan berkata, beliau membuat keputusan itu kerana pihak berkuasa gagal mengenal pasti individu terbabit dalam klip video yang tersebar pada Jun tahun lalu.
Katanya, selepas timbalan pendakwa raya menyemak keterangan yang dikumpul dan dikemukakan polis, mereka sebulat suara mengesyorkan kepadanya tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung kes itu.
Tetapi, beliau berkata, seperti amalan biasa, siasatan boleh dibuka semula jika keterangan baru diperolehi.
Pada 12 Jun tahun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengejutkan negara dengan mengaku dirinya ialah seorang daripada individu dalam klip video yang menunjukkan 2 lelaki sedang mengadakan hubungan seks sejenis.
Beliau turut menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video itu, tetapi dinafikan Azmin yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Undang-undang murtad
Anwar berkata, kritikan G25 berhubung undang-undang murtad perlu dibincangkan sarjana agama.
“Kebimbangannya ialah apa yang diperbaiki dari segi peruntukan undang-undang, sama ada kita mempertimbangkan nasihat beberapa ulama.”
Terdahulu, kumpulan bekas penjawat awam kanan itu mengkritik undang-undang murtad dengan berkata keputusan umat Islam meninggalkan agamanya ialah hal antara individu itu dengan Tuhan.
Dalam kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam”, G25 berkata, undang-undang negeri menghukum murtad, sama ada dengan denda, pemenjaraan atau pemulihan, tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.