Dong Jiao Zong berusaha selesai isu tulisan Jawi di sekolah vernakular

Dong Jiao Zong berusaha selesai isu tulisan Jawi di sekolah vernakular

Dong Jiao Zong mengemukakan memorandum 17 NGO Cina kepada Kementerian Pendidikan pada 2 Jan lalu dan cuba menghubungi parti pemerintah, pembangkang serta Kementerian Pendidikan untuk mengadakan dialog berhubung isu itu.

PETALING JAYA: Kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong berkata, mereka berusaha mencari penyelesaian dengan Kementerian Pendidikan berhubung isu pengenalan tulisan Jawi dalam subjek bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Ia termasuk menghantar memorandum kepada pemangku ketua pengarah Pendidikan, Habibah Abdul Rahim beberapa jam sebelum bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya pada 2 Jan lalu.

Isu tulisan Jawi antara kontroversi terbesar sepanjang Maszlee menerajui Kementerian Pendidikan selama 20 bulan.

Dong Jiao Zong berkata, selepas mengemukakan memorandum 17 NGO Cina kepada Kementerian Pendidikan pada 2 Jan lalu, ia mengambil pelbagai inisiatif, termasuk menghubungi parti pemerintah dan pembangkang serta Kementerian Pendidikan untuk mengadakan dialog bagi menyelesaikan isu pengenalan tulisan Jawi.

Kumpulan itu juga kesal tidak dapat menghadiri sesi dialog yang diadakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy 2 hari lalu berhubung isu sama kerana sudah mengatur pertemuan dengan pertubuhan Islam.

“Dong Jiao Zong hanya menerima surat jemputan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri melalui e-mel pada pagi hari perjumpaan tersebut, didapati hanya nama 12 pertubuhan yang dijemput, manakala Jiao Zong dan nama pertubuhan Melayu tidak berada dalam senarai jemputan.

“Pada hari sama, Dong Jiao Zong akan mengadakan satu pertemuan dengan pertubuhan Muslim, maka kerana kesuntukan masa dan sebab-sebab itu, kami tidak sempat menghadiri pertemuan dengan menteri dan ini amat dikesali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mereka menyambut baik usaha proaktif Waytha mengadakan sesi dialog itu pada 7 Jan lalu untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu tulisan Jawi.

“Kami berharap pihak kerajaan dapat meneruskan perbincangan dengan NGO dan membina kepercayaan bersama untuk mewujudkan suasana kondusif kepada perbincangan dasar kerajaan.

“Kami mengalu-alukan segala peluang untuk bertukar pandangan dan bermuzakarah dengan semua pertubuhan berkaitan, termasuk yang berlainan pandangan untuk mencari formula penyelesaian yang rasional.”

Dong Zong pada mulanya merancang mengadakan persidangan membincangkan tulisan Jawi di sekolah vernakular pada 28 Dis lalu, tetapi mereka terpaksa membatalkannya sehari sebelumnya selepas polis mendapat perintah mahkamah bagi mengelakkan timbul gangguan kepada ketenteraman awam.

Pada 2 Jan lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, pelaksanaan tulisan Jawi dalam subjek bahasa Melayu tahun 4 di sekolah vernakular hanya boleh dilaksanakan dengan majoriti mudah 51% ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, tanpa persetujuan salah satu pihak terbabit, iaitu ibu bapa atau PIBG, maka tulisan Jawi tidak boleh dilaksanakan di sesebuah sekolah jenis kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.