PN tak akan tutup sekolah vernakular, kata Wan Fayhsal

PN tak akan tutup sekolah vernakular, kata Wan Fayhsal

Ketua Pemuda Bersatu berkata pendirian PN ialah sekolah vernakular harus 'diperkayakan' dengan kurikulum kebangsaan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata isu sekolah vernakular bukan pertama utama dalam kempen PN di Kuala Kubu Baharu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional tidak akan menutup sekolah vernakular, kata Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai pendirian gabungan itu.

Beliau mengulas permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, kerana membangkitkan isu pendidikan calon Pakatan Harapan, dan secara tidak langsung mendedahkan Pang Sock Tao mendapat pendidikan di sekolah vernakular.

Wan Fayhsal pada sidang media berkata, PN tidak menentang sekolah vernakular sebaliknya menyokong ia ‘diperkayakan’ dengan kurikulum kebangsaan.

“Seperti yang kita kata di Parlimen, kita suka sekiranya sekolah vernakular diperkayakan dengan kurikulum kebangsaan supaya ia mencerminkan karakter kebangsaan.

“Pada dasarnya, PN tidak akan tutup sekolah vernakular,” katanya.

Wan Fayhsal berkata, isu itu bukan perkara utama dalam kempen PN pada PRK Kuala Kubu Baharu, kerana gabungan itu mahu tumpu pada isu ekonomi.

Jelasnya, komen Fadhli sekadar menjawab pertikaian tentang latar belakang pendidikan calon PN, Khairul Azhari Saut.

“Kita sudah jawab perkara ini. Ia bukan pembohongan. Beliau mempunyai ijazah sarjana eksekutif daripada Universiti Malaysia Pahang.

“Saya fikir sekolah vernakular tidak akan beri manfaat kepada kedua-dua calon kerana kita memilih seorang Adun, bukan Ahli Parlimen,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, Wan Fayhsal menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat siasatan selepas Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad didakwa memberikan sampul di Kuala Kubu Baharu.

“Kami dikejutkan dengan gambar yang menunjukkan Dzulkefly mengedarkan sampul. Saya tak pasti apa dalam sampul tersebut, tapi diedarkan di Kuala Kubu Baharu,” katanya.

“Jadi saya minta SPR siasatlah apa ‘gula-gula’ yang ditawarkan oleh menteri-menteri madani ini setiap kali mereka turun berkempen di Kuala Kubu Bharu.

“Ini menimbulkan tanda tanya kepada sejauh mana penguatkuasaan SPR undang-undang pilihan raya ke atas pihak kerajaan? Ya kalau pembangkang buat sikit silap, pasti kena tindakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.