
Menteri Hannah Yeoh, berkata langkah itu selaras mandat diberikan Kementerian Kewangan kepada KBS memberi keutamaan kepada Sukan Perpaduan Malaysia, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan menerusi sukan.
Beliau menjelaskan, dana telah diperuntukkan bagi mengadakan kelas atau klinik sukan sepak takraw dan menggalakkan persatuan sukan tempatan melaksanakan percubaan projek tersebut di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan Cina.
“Kita mahu promosikan rentas budaya dalam sukan, jadi perlu buka lebih banyak ruang dan peluang. Sepak takraw ialah contoh terbaik untuk diketengahkan.
“Sebagai contoh, SJKC mempunyai banyak fasiliti seperti gelanggang bola keranjang dan ia sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk sukan lain juga,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Mesra YB Menteri Belia dan Sukan Bersama Media 2025.
Tambahnya, terdapat banyak penyertaan atlet tempatan tidak kira bangsa dalam pelbagai disiplin sukan.
“Silat, pemenang pingat kita ialah seorang atlet India. Dalam wushu pula, salah seorang pemenang ialah atlet Melayu. Ini bukti kecemerlangan rentas budaya dalam sukan negara,” tambahnya.
Sementara itu, beliau turut mendedahkan reformasi sukan bola sepak akan dilaksanakan tahun depan, namun pelaksanaannya perlu menunggu penyelesaian proses rayuan melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Reformasi bola sepak akan datang tahun depan, tapi saya perlu tunggu proses rayuan selesai dahulu. Untuk melengkapkannya, saya mahu pastikan FAM berada dalam keadaan teratur,” katanya.
Memetik isu pendaftaran tujuh pemain warisan yang mewakili Harimau Malaya, Hannah menegaskan tumpuan terhadap perkara itu perlu diseimbangkan dengan mengambil kira ribuan kanak-kanak Malaysia yang masih aktif bermain bola sepak dan bercita-cita mewakili negara.
“Kita jangan hanya fokus kepada tujuh pemain. Masih ramai anak muda Malaysia mahu terus bermain bola sepak. Kalau kita ‘bunuh’ pasukan kebangsaan, ramai lagi yang akan terkesan. Tidak semua perlu dihukum.”