Penganalisis ragui kedamaian PAS-Gerakan bertahan lama

Penganalisis ragui kedamaian PAS-Gerakan bertahan lama

Awang Azman Awang Pawi berkata kedudukan Gerakan dalam PN bergantung kepada PAS yang mendominasi gabungan itu.

hamzah pn
(Dari kiri) Hamzah Zainudin, Dominic Lau, Ahmad Faizal Azumu, Tuan Ibrahim Tuan Man, P Punithan, dan Takiyuddin Hassan bertemu untuk menangani percakaran antara PAS dan Gerakan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganalisis ragu-ragu kedamaian diusahakan Bersatu susulan percakaran antara PAS dan Gerakan berhubung sumbangan untuk sekolah vernakular boleh bertahan lama.
Awang Azman
Awang Azman Awang Pawi.

Awang Azman Awang Pawi meragui keberkesanan Bersatu menjadi pendamai antara Gerakan dan PAS, yang lebih dominan dalam Perikatan Nasional dengan akar umbi yang jauh lebih kuat.

Mengambil kira faktor berkenaan, penganalisis di Universiti Malaya itu berkata kedudukan Gerakan dalam PN sebahagian besarnya bergantung pada PAS.

“Keamanan tersebut bergantung pada isu dan kepentingan PAS itu sendiri. Jika PAS melihat boleh raih untung politik lebih besar kepada mereka maka ia boleh jadi aman dan boleh juga kepada tak aman,” katanya kepada FMT.

Oh Ei Sun di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura turut menarik perhatian pada pengaruh Bersatu dalam PN yang semakin susut, dan PAS yang kelihatan ‘semakin memerintah’.

“PAS kelihatan sukacita menunjuki Gerakan pintu keluar PN,” katanya.

Oh Ei Sun
Oh Ei Sun.

Oh meramalkan Gerakan akan menuruti PAS, memandangkan keluar PN bukan pilihan yang berdaya maju bagi parti itu yang hanya mempunyai seorang wakil rakyat di DUN Kedah.

“Mungkin aman lama dan mungkin sekejap, tapi tak penting sedikit pun kerana Gerakan tidak menambah nilai PN dari segi kerusi pilihan raya,” katanya.

PAS dan Gerakan baru-baru ini bercakaran mengenai sumbangan kepada sekolah Cina oleh syarikat minuman keras.

Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong memberi amaran Gerakan tidak teragak-agak keluar PN jika sekutunya terus mempamerkan ‘ekstremisme agama’.

Naib Presiden PAS Amar Abdullah kemudian membalas tiada halangan jika Gerakan ambil keputusan keluar PN.

Dalam pada itu, media melaporkan Pemuda Gerakan Johor mengisytiharkan putus hubungan dengan Pemuda PAS negeri berhubung isu sama.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu kemudian berkata partinya sedia menjadi pendamai untuk mengelakkan perselisihan berterusan sehingga menjejaskan hubungan PAS dan Gerakan.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin pada Sabtu mengumumkan kemelut itu sudah selesai, dalam pertemuan antara pemimpin parti-parti komponen.

Pertemuan itu dihadiri Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin, Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia P Punithan, dan Faizal serta Hamzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.