Dana demi survival, kata Guan Eng berkait derma syarikat arak

Dana demi survival, kata Guan Eng berkait derma syarikat arak

Ibu bapa bukan Muslim sedar keperluan jarakkan anak dengan alkohol, namun lebih bimbang sekolah dalam keadaan daif.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng, berkata jumlah dana diterima daripada Kementerian Pendidikan tidak mencukupi bagi sekolah jenis kebangsaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata ibu bapa bukan Muslim tidak melihat salah bagi syarikat arak mendanai sekolah Cina, sambil menyifatkan ia berkait ‘survival’.

Dalam kenyataan, beliau berkata ibu bapa menyedari keperluan menjarakkan anak mereka daripada alkohol. Bagaimanapun, katanya kekurangan dana menyebabkan sekolah Cina dalam keadaan daif, yang mana menjejaskan pembelajaran, kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan pelajar.

Lim berkata, justeru ibu bapa bukan Muslim menerima tajaan daripada syarikat arak sejak 37 tahun lalu.

“Dalam erti kata lain, ibu bapa bukan Muslim tidak takut anak mereka di sekolah Cina atau sekolah vernakular dipengaruhi syarikat arak, seperti mana ketakutan mereka terhadap survival sekolah berkenaan tanpa dana pembangunan yang sangat diperlukan,” katanya,

Beliau berkata, ibu bapa bukan Muslim ‘tidak ambil pusing’ atas ‘ceramah’ berkait amalan kesihatan melibatkan anak mereka, sambil menambah tiada rungutan bahawa pelajar dipengaruhi syarikat arak untuk minum atau mabuk.

Sumbangan dana kepada sekolah Cina menjadi isu apabila PAS mengkritik timbalan menteri menerima cek cura RM3 juta, tertera lambang Tiger Beer, pada majlis di Selangor.

Minggu lalu, Kementerian Pendidikan berkata pihaknya kekal dengan garis panduan berkait derma kepada sekolah, bahawa sumbangan tidak boleh memapar atau mempromosi jenama alkohol di premis sekolah.

Katanya, Jemaah Menteri bersetuju memberi kelonggaran kepada sekolah vernakular menerima derma menerusi lembaga pengarah atau yayasan.

Dalam pada itu, Lim mengkritik pihak disifatkan ‘lebih suci’ berhubung isu sumbangan itu, di mana mengetepikan fakta sekolah berkenaan bergantung derma awam.

Bekas menteri kewangan itu, berkata Tiger dan Carlsberg telah menyumbang RM981 juta kepada sekolah vernakular sejak 1987, jumlah kritikal mengambil kira kekurangan dana pembangunan disediakan Kementerian Pendidikan.

Beliau menyatakan RM120 juta diperuntuk dalam Belanjawan 2022 kepada sekolah jenis Cina dan Tamil – jumlah baginya ‘sangat tidak mencukupi’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.