
Ismail berkata walaupun pemantau pilihan raya itu ada mengkritik amalan sebegitu minggu lepas, ia tidak memadai.
Beliau berkata Bersih patut turun ke jalan raya menuntut pilihan raya bersih dan adil, seperti yang ia lakukan semasa Barisan Nasional (BN) memerintah.
Bersih 2.0 mempersoalkan pengumuman peruntukan pembangunan dan tindakan menteri sebelum hari penamaan calon PRK Kimanis.
Bersih 2.0 cawangan Sabah berkata sekurang-kurangnya 3 kejadian “tidak beretika” seperti itu dilakukan.
Pertamanya, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick mengumumkan naik taraf akses jalan ke sebuah surau di Kampung Pantai Sri Gading di Membakut, salah sebuah DUN di bawah Parlimen Kimanis.
Satu lagi kejadian yang dikatakan adalah langkah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub memberikan cek RM90,000 untuk menaik taraf jeti di Kampung Biau, Bongawan, sebuah lagi DUN di bawah Parlimen Kimanis.
“Saya masih tertunggu-tunggu Bersih mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah amalan pilihan raya yang tidak bersih,” kata Ismail semasa melawat komuniti nelayan di Kampung Binsulok hari ini.