
Presiden Persatuan Woodball Malaysia (MWA), Elaine Tan berkata keyakinan tersebut berdasarkan peningkatan pencapaian pemain khususnya pemain baru beberapa tahun kebelakangan ini, namun beliau tidak meletakkan sasaran jumlah pingat.
“Saya yakin Malaysia akan meraih beberapa pingat khususnya pingat emas,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWbF), MWA dan Persatuan Woodball Perlis (PWPs) di sini, malam tadi.
Majlis itu disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku penaung PWPs.
WCWC2020 yang julung kali diadakan di Perlis melibatkan 5 vanue iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Institut Pendidikan Guru (IPG) Behor Pulai, Kolej Matrikulasi Arau dan Dataran Dato’ Sheikh Ahmad.
Sementara itu, Presiden PWPs, Kamarudin Hussin berkata kira-kira 20 buah negara akan menyertai kejohanan tersebut dan dijangka lebih 3,000 orang akan turut serta menjayakan kejohanan berkenaan.
“Antara negara yang mengesahkan penyertaan adalah Thailand, Taiwan, Korea Selatan dan Indonesia. Kita jangka lebih banyak lagi negara akan mengambil bahagian nanti,” katanya.
“Untuk makluman juga, kita bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan WCWC ini juga turut menjadi salah satu kalendar acara dalam Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020),” katanya.