
Acara berlangsung di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu menyaksikan penyertaan pasukan dari seluruh negara bersaing dalam pelbagai kategori individu, beregu dan berpasukan.
Majlis penutupan disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga penaung Diraja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs).
Dalam acara berpasukan, Perlis A menjuarai kategori lelaki selepas mengumpul 806 mata manakala Pahang muncul juara berpasukan wanita dengan 921 mata.
Kategori individu turut menyaksikan penguasaan peserta tuan rumah apabila Suhaimi Ahmad dari Perlis dinobatkan sebagai juara perseorangan lelaki terbuka dengan 193 mata.
Dalam saingan wanita, Loo Lee Lee dari Selangor meraih gelaran juara dengan 216 mata.
Dalam acara beregu, pasangan adik-beradik tuan rumah, Nur Atrisha Shiffa Azizan dan Muhammad Azim Shaqil Azizan, cemerlang apabila menjuarai beregu campuran terbuka dengan 100 mata.
Pasangan Khairuazree Sahabudin dan Zulkifli Said pula mengekalkan dominasi Perlis dengan kemenangan dalam beregu lelaki terbuka (95 mata), manakala Terengganu memenangi beregu wanita terbuka melalui gandingan Nur Laili Idayu Rosli dan Putri Maisara Khairul Hizat (110 mata).
Bintang muda Perlis juga tidak ketinggalan menyerlah yang menyaksikan Amsyar Sirhan Saifullah Saharrudin menjuarai kategori remaja lelaki bawah 19 tahun (202 mata), manakala adiknya, Ameer Sidqi Saifullah Saharrudin, menepati ramalan dengan kemenangan dalam bawah 15 tahun (232 mata).
Dalam kategori veteran, Bahrin Ismail dari Perlis melengkapkan koleksi kemenangan negeri itu selepas muncul juara perseorangan veteran dengan 213 mata.
Kejayaan besar ini sekali lagi membuktikan komitmen dan kesungguhan ‘The Perlis Woodpeckers’ dalam memajukan sukan woodball di peringkat kebangsaan serta memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai antara pusat pembangunan utama sukan itu di Malaysia.