Kejayaan 2 beregu di Paris bukti RTG berkesan

Kejayaan 2 beregu di Paris bukti RTG berkesan

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pelaburan kerajaan bukan pembaziran, sebaliknya memberikan hasil berbaloi buat arena sukan negara.

hannah yeoh
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyambut ketibaan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Pearly Tan-M Thinaah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan kejayaan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meraih pingat emas serta perak pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris membuktikan keberkesanan program Road To Gold (RTG).

Beliau berkata, pelaburan dibuat kerajaan bukan pembaziran, sebaliknya memberikan hasil berbaloi buat arena sukan negara.

“Untuk RTG, setiap atlet akan tandatangan kontrak bagi komitmen mereka kepada negara kerana ini pelaburan negara. Jadi, dalam empat bulan saja kita boleh lihat kemenangan itu.

“Ini merupakan kejayaan besar untuk RTG kerana program ini melabur dana ke atas empat atlet ini,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah diberi sambutan wira selepas menyumbang pingat buat negara pada kejohanan di Perancis baru-baru ini.

Diminta mengulas kejayaan Tang Jie-Ee Wei, Yeoh memuji kebangkitan pasangan itu yang sebelum ini mengumumkan perpisahan April lalu.

Katanya, pasangan itu kini wajar melihat diri sebagai satu daripada gergasi selepas meraih pingat emas pada kejohanan dunia.

“Ada kalanya ketabahan akan membawa anda kepada kejayaan seterusnya. Saya sangat gembira mereka teruskan usaha sejak April sehingga sekarang dan mereka tidak berputus asa.”

Beliau turut memuji usaha Pearly-Thinaah yang membawa pulang pingat perak.

“Mereka memberikan inspirasi kepada ramai pemain wanita di Malaysia. Mereka mengubah imaginasi kepada realiti dan kejayaan ini satu pencapaian hebat.”

Yeoh berkata, dua pasangan beregu itu layak mendapat insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dengan pemenang pingat emas bakal mendapat habuan RM20,000 dan RM10,000 untuk pingat perak.

“Saya telah berbincang dengan Presiden BAM, Tengku Zafrul Aziz untuk pemberian Shakam tambahan. Pengumuman akan dibuat kemudian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.