
Menteri komunikasi berkata, pindaan itu akan dibentang di sidang Parlimen akan datang sejurus satu memorandum bersama dibawa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Harap dalam seminggu, dua ini satu memorandum bersama daripada mungkin sama ada menteri KKM atau pendidikan tinggi dibawa ke Jemaah Menteri untuk bentangkan RUU pindaan yang dimaksudkan.
“Kalau berjalan lancar ia akan dibawa ke Parlimen dalam sesi akan datang atau selepas itu,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan 2024 di pejabatnya.
Fahmi berkata, pindaan itu dijangka dapat merungkai isu pokok membabitkan pertindihan antara dua badan iaitu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MPM).
“(Pindaan) yang akan dibentangkan nanti (dapat) untuk merungkai masalah ini,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata pindaan Akta Perubatan akan dibentangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang dalam usaha kerajaan menyelesaikan isu berkaitan program laluan selari.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pula sebelum ini berkata, KKM berpegang pada keputusan untuk meminda Akta Perubatan bagi merapatkan jurang antara program laluan selari dan program ijazah perubatan tempatan.
MPM terpalit kontroversi apabila kelayakan pakar daripada program laluan selari dan graduan genetik perubatan tidak diiktiraf untuk mendaftarkan mereka dalam Daftar Pakar Kebangsaan.
Sebagai tindak balas terhadap pertikaian berterusan itu, empat pakar bedah kardiotoraks yang menerima kelayakan daripada Royal College of Surgeons of Edinburgh, bersama enam graduan Universiti Sains Malaysia, memfailkan saman terhadap MPM.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju menggunakan semula logo sambutan Hari Kebangsaan 2023 bagi tahun ini, dengan tema ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka’.