Jual beli haiwan eksotik kini di media sosial, aplikasi jualan atas talian

Jual beli haiwan eksotik kini di media sosial, aplikasi jualan atas talian

Harga bagi anak tenggiling dan anak musang bermula dengan harga RM800 seekor.

Sebanyak 65 ekor tenggiling bernilai kira-kira RM75,000 dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Bukit Kayu Hitam pada Julai tahun lalu dan seorang lelaki tempatan ditahan kerana cuba menyeludup haiwan eksotik itu ke negara jiran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kegiatan pemerdagangan dan penyeluduan haiwan terancam dilihat semakin serius lebih-lebih lagi dengan adanya platform seperti media sosial dan aplikasi jualan atas talian.

Tinjauan FMT mendapati beberapa individu dan kumpulan di media sosial menawarkan perkhidmatan menjual haiwan eksotik dan spesies jarang ditemui.

Malah, mereka sangat mudah dicapai iaitu melalui kata kunci seperti “pets” (haiwan peliharaan), “wildlife” (hidupan liar) dan “eksotik”.

Tinjauan mendapati lebih 100 individu dan kumpulan aktif di Facebook dengan kata-kata kunci berkenaan.

Haiwan terancam seperti tenggiling dan anak musang boleh dibeli dengan harga serendah RM800. Pembeli hanya perlu membayar separuh daripada harga jualan untuk tempahan. Manakala, baki bayaran boleh dibuat pada hari haiwan tersebut dihantar kepada pembeli.

Kegiatan jual beli haiwan-haiwan ini juga boleh dibuat melalui aplikasi jualan atas talian yang menawarkan harga dan pakej menarik.

Antara haiwan peliharaan yang menjadi kegemaran pembeli adalah sugar glider (spesies jarang dijumpai), anak buaya tembaga, burung kuang betina, burung cenderawasih, orang utan dan belut liar.

Seorang jurujual yang hanya mahu dikenali sebagai Ivan memberitahu FMT, dia sudah melakukan kegiatan itu lebih 5 tahun sejak 2014.

Katanya, dia mendapatkan haiwan-haiwan tersebut daripada pengusaha kebun atau orang kampung yang mahir berburu di hutan.

“Upah mereka murah. Tapi, barang (haiwan) mereka jual mahal. Kadang kala susah untuk tawar-menawar,” katanya sambil menambah tenggiling, anak musang dan anak monyet merupakan spesies yang paling laris dalam senarai jualannya.

Ivan berkata, rata-rata pelanggannya adalah penggemar haiwan eksotik dan sanggup meletakkan harga tinggi untuk mendapatkan spesies berkenaan.

Bagaimanapun, menurut penjual dari Pulau Pinang itu, terdapat juga pelanggan yang menghubunginya untuk mendapatkan beberapa jenis haiwan terancam untuk dijadikan sebagai makanan.

“Pelanggan ada dari dalam dan luar negara, mereka suka makan belut liar dan kura-kura.

“Jualan kura-kura memang lumayan, nilainya tinggi kerana susah untuk dihantar kepada pembeli.

“Kami perlu berhati-hati untuk mengelak ditangkap pihak imigresen dan polis,” katanya.

Untuk rekod, jika cubaan menyeludup dan pemerdagangan haiwan terancam, pupus dan eksotik ditumpaskan pihak berkuasa, kesemua haiwan yang dirampas akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Apabila ditanya mengapa sanggup melakukan urusan jual beli yang berisiko dan melanggar undang-undang sedemikian, Ivan berkata pulangannya sangat lumayan.

“Seekor tenggiling yang terjual boleh untung RM200. Kalau yang dewasa, boleh untung hingga RM600.”

Ivan berkata sebilangan besar pelanggannya tidak mengetahui bahawa terdapat sesetengah haiwan dilarang dijual terutama spesies yang perlu mendapatkan lesen pemilikan daripada Perhilitan seperti ular, kura-kura dan beberapa spesies burung.

“Bila saya beritahu sesetengah haiwan harganya mahal kerana risiko besar yang ditanggung saya sebagai penjual, mereka jadi pelik.

“Lepas menyedari situasi itu, saya tidak beritahu lagi kepada pelanggan kerana boleh membuatkan mereka takut dan membatalkan hasrat untuk membeli,” katanya.

FMT sedang mendapatkan maklum balas Perhilitan, Jabatan Imigresen dan aktivis alam sekitar berhubung perkara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.