Cuba seludup 6 haiwan eksotik, lelaki diberkas

Cuba seludup 6 haiwan eksotik, lelaki diberkas

Suspek dalam perjalanan ke India cuba bawa keluar lotong kelabu, siamang, dan armadillo.

Armadillo antara enam haiwan eksotik cuba dibawa keluar yang dianggarkan keseluruhan RM73,000. (Gambar Wikipedia)
SEPANG:
Lelaki tempatan ditahan selepas disyaki seludup keluar enam haiwan eksotik dianggarkan RM73,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Lelaki berusia 38 tahun yang dalam perjalanan ke India itu ditahan pada 10 malam tadi dalam satu operasi penguatkuasaan dijalankan pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bersama Pasukan Keselamatan Penerbangan (Avsec).

“Bertindak atas maklumat diterima, dua anggota AKPS KLIA bersama tiga anggota Avsec telah menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap bagasi penumpang, selepas pemeriksaan awal melalui mesin pengimbas mendapati terdapat imej mencurigakan menyerupai hidupan liar di dalam bagasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan enam ekor haiwan, iaitu masing-masing dua disyaki lotong kelabu, siamang, dan armadillo,” menurut kenyataan itu.

Menurut AKPS, semua haiwan berkenaan dipercayai termasuk dalam kategori spesies terancam dan dilindungi di bawah perundangan negara dan antarabangsa.

Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

“Semua haiwan dirampas telah dibawa ke Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan susulan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.