25% pekerjaan global diancam GenAI, menurut laporan

25% pekerjaan global diancam GenAI, menurut laporan

Laporan bertajuk 'Generative AI and Jobs: A Refined Global Index of Occupational Exposure' menekankan transformasi kerja, bukannya penggantian besar-besaran hasil integrasi AI di tempat kerja.

ai artificial intelligence
Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Institut Penyelidikan Kebangsaan Poland menunjukkan kerja perkeranian dan bidang kognitif seperti media berdepan risiko tertinggi terdedah ancaman GenAI. (Gambar Freepik)
ISTANBUL:
Sebanyak 25% pekerjaan di seluruh dunia berpotensi terdedah ancaman kecerdasan buatan generatif (GenAI), dengan kerja perkeranian dan membabitkan bidang digital berdepan risiko tertinggi, menurut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Institut Penyelidikan Kebangsaan Poland.

Laporan bertajuk “Generative AI and Jobs: A Refined Global Index of Occupational Exposure” itu dianggap penyelidik sebagai penilaian global paling terperinci setakat ini bagaimana GenAI mungkin membentuk semula pasaran buruh, lapor Anadolu Ajansi.

Namun, kajian itu menekankan transformasi pekerjaan, bukannya penggantian besar-besaran lebih mungkin berlaku hasil integrasi AI di tempat kerja.

“Kami melangkaui teori dengan membina alat berasaskan pekerjaan sebenar,” kata Penyelidik Kanan ILO merangkap pengarang utama laporan itu, Pawel Gmyrek.

“Dengan menggabungkan pandangan manusia, semakan pakar dan model GenAI, kami mencipta kaedah boleh diguna pakai semula bagi membantu negara menilai risiko dan bertindak balas dengan tepat.”

Menurut kajian itu, kadar pendedahan global kepada GenAI sebanyak 25%, namun meningkat kepada 34% di negara berpendapatan tinggi susulan integrasi digital lebih meluas.

Kerja perkeranian berdepan risiko tertinggi kerana GenAI secara teorinya boleh mengautomasikan pelbagai tugas pentadbiran dan kemasukan data. Pekerjaan lain yang turut terdedah ialah bidang kognitif seperti media, pembangunan perisian dan kewangan.

Laporan itu turut memperkenalkan “indeks pendedahan pekerjaan” berdasarkan hampir 30,000 tugas pekerjaan yang disemak silang menggunakan “skor AI”, pengesahan pakar dan data pekerjaan ILO untuk membolehkan analisis lebih terperinci kesan teknologi itu mengikut negara dan sektor.

Dapatan juga menunjukkan jurang jantina ketara. Di negara berpendapatan tinggi, 9.6% wanita bekerja dalam pekerjaan berisiko tinggi untuk diautomasi berbanding hanya 3.5% lelaki.

Walaupun mengakui GenAI boleh meningkatkan produktiviti, laporan itu mengingatkan kesannya bergantung kepada kadar penerimaan, infrastruktur negara dan tahap kemahiran digital pekerja.

Laporan itu menggesa kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja mengadakan dialog sosial serta merangka dasar bagi melindungi pekerja, menggalakkan peningkatan kemahiran dan memastikan peralihan adil dalam sektor terdedah GenAI.

Kajian itu selari penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 2024 yang menjangkakan AI boleh mempengaruhi sehingga 40% pekerjaan di seluruh dunia, dengan ekonomi maju paling terkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.