Warga India ditahan cuba seludup keluar lebih 2,500 kura-kura di KLIA

Warga India ditahan cuba seludup keluar lebih 2,500 kura-kura di KLIA

Kura-kura 'Red-eared Slider' bernilai RM348,000 itu disembunyikan dalam bagasi suspek yang mahu menaiki penerbangkan ke Bengaluru.

Kura kura Red-eared Slider (Gambar AKPS)
Sebahagian kura-kura spesies ‘Red-eared Slider’ yang disembunyikan dalam bagasi milik lelaki warga India yang ditahan di Terminal 1, KLIA pada Selasa lalu. (Gambar AKPS)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga India ditahan selepas cuba menyeludup keluar lebih 2,500 kura-kura yang disembunyikan dalam bagasinya di Terminal 1, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa lalu.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan berkata suspek yang dijadualkan menaiki penerbangan ke Bengaluru, India, ditahan pada 10.05 malam di pintu pelepasan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai penguatkuasa AKPS dan anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) melakukan imbasan ke atas beg suspek yang menunjukkan imej mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut menemui ribuan kura-kura spesies ‘Red-eared Slider’ bernilai kira-kira RM348,000 yang disembunyikan di dalam bagasi tersebut,” kata kenyataan itu.

Katanya, semua hidupan liar itu disita dan kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar
2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

“Kejayaan ini adalah hasil pemeriksaan bersepadu dan kerjasama erat antara AKPS KLIA, Perhilitan, AVSEC dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dalam mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar yang semakin berleluasa.

“AKPS akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan biodiversiti negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.