Bekalan air di Selangor hampir pulih sepenuhnya selepas pencemaran bau

Bekalan air di Selangor hampir pulih sepenuhnya selepas pencemaran bau

Air Selangor berkata, Petaling pulih 97.3%, Hulu Langat 98.8%, Sepang dan Putrajaya 99.1% serta Kuala Langat pulih sepenuhnya.

Petugas Air Selangor membantu penduduk Pangsapuri Sri Tanjung di USJ 8 Subang mengangkat tong berisi air semalam, susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih sejak Sabtu lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekalan air di kawasan Petaling, Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat yang terjejas ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih pulih 98.4% setakat 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Halem Mat Som berkata, berdasarkan Petaling menunjukkan 97.3% pulih, Hulu Langat 98.8%, Sepang dan Putrajaya 99.1% serta Kuala Langat pulih sepenuhnya.

“Walaupun bekalan air semakin pulih di hampir semua kawasan, Air Selangor masih menggerakkan bantuan kecemasan seperti lori tangki, pusat khidmat setempat dan pili awam sehingga keseluruhan kawasan pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkembangan terkini berhubung gangguan itu boleh diperolehi melalui aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook, Instagram atau laman www.airselangor.com

Sabtu lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup sepenuhnya ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih yang berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu membuang sisa haram ke lurang pembentungan di sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Susulan itu, sebanyak 328,957 akaun pengguna di 366 kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.