Olimpian terbaik 2019 Loh Choon How umum bersara

Olimpian terbaik 2019 Loh Choon How umum bersara

Atlet wushu itu berpendapat sudah tiba masanya untuk berundur selepas bergelut dengan kecederaan demi kecederaan.

Atlet wushu negara, Loh Choon How yang menerima anugerah Olimpian Terbaik 2019 mengumumkan persaraan disebabkan kecederaan demi kecederaan dialaminya.
KUALA LUMPUR:
Selepas mengakhiri tahun ini dengan cemerlang apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah Olimpian Terbaik 2019 malam tadi, atlet wushu Loh Choon How membuat kejutan dengan mengumumkan persaraannya.

Loh, 26, yang mencatatkan pencapaian mengagumkan pada tahun ini dengan memenangi pingat perak pada Kejohanan Dunia dan 2 pingat emas pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, berpendapat sudah tiba masanya untuk berundur selepas bergelut dengan kecederaan demi kecederaan.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu berkata keputusannya untuk bersara tertakluk kepada kelulusan Persekutuan Wushu Malaysia (WFM).

Dalam beberapa tahun ini, beliau mengalami pelbagai kecederaan daripada ligamen medial collateral terkoyak, meniscus dan otot belakang sehinggakan tulang belakang bengkok.

Loh turut bergelut dengan kesakitan semasa memenangi 2 pingat emas pada Sukan SEA baru-baru ini.

“Keadaan saya amat teruk, malah sekarang saya tidak boleh berdiri lama, selepas 15 minit saya perlu duduk dan rehat. Semua kecederaan ini dialami sepanjang saya menjalani latihan dan pertandingan selama bertahun-tahun.

“Jadi saya mempertimbangkan untuk fokus pada pemulihan dan berehat, tetapi walaupun saya bersara, saya tidak akan berhenti daripada sukan wushu.

“Saya akan meneruskan kerjaya dalam kejurulatihan dan membantu atlet lain dengan ilmu pengetahuan yang ada pada saya. Sudah pasti, prestasi pada tahun ini merupakan pencapaian terbaik dalam kerjaya sukan saya,” katanya selepas Majlis Anugerah dan Makan Malam Tahunan Majlis Olimpik Malaysia ke-26.

Loh memenangi pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan SEA Filipina dalam acara taijiquan lelaki dan kemudian meraih emas kedua dalam acara taijijian lelaki.

Beliau berkata anugerah Olimpian Terbaik 2019 amat bermakna buat dirinya dan wushu, kerana beliau merupakan atlet wushu ke-2 menerima penghormatan itu sejak 1993, selepas dimenangi Ho Ro Bin pada 2002.

Pada majlis itu, ratu gimnastik negara Farah Ann Abd Hadi dinobatkan sebagai Olimpian Terbaik 2019 bagi kategori wanita.

Kedua-dua atlet masing-masing menerima wang tunai RM10,000 dan pingat emas khas tajaan Syarikat Coca-Cola yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.