Masyarakat digesa terbuka bincang pendidikan seks demi hilang stigma HIV/AIDS

Masyarakat digesa terbuka bincang pendidikan seks demi hilang stigma HIV/AIDS

Presiden Majlis AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah berkata, penyebaran HIV di Malaysia dahulu melalui pengambilan dadah menggunakan suntikan, tetapi kini 94% melalui hubungan seks.

Penaung Yayasan AIDS Malaysia, Marina Mahathir bercakap pada sidang media Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah Tun Dr Siti Hasmah di Kuala Lumpur, malam tadi. Turut hadir Presiden Majlis AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah (kiri) dan Penasihat Majlis Makan Malam Gala, Florence Fang (kanan).
KUALA LUMPUR:
Masyarakat sepatutnya membincangkan pendidikan seks secara jujur sebagai satu cara untuk membasmi HIV dan AIDS menjelang 2030, selaras usaha Kementerian Kesihatan, kata Presiden Majlis AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah.

Beliau berkata, masyarakat perlu terbuka untuk membincang dan menghilangkan stigma terhadap HIV/AIDS kerana 94% penyebaran HIV melalui hubungan seks.

“Di Malaysia, beberapa tahun lepas, sumber utama penyebaran (HIV) adalah melalui mereka yang mengambil dadah menggunakan suntikan, namun kini lebih daripada 90% disebabkan hubungan seks.

“Ia bukan satu pendidikan sains roket yang sukar tentang cara mengatasi HIV, jadi kita boleh bercakap secara lebih terbuka mengenai penggunaan kondom, pendidikan seks, kita boleh membasmikan AIDS menjelang 2030,” katanya dalam sidang media mengenai Majlis Makan Malam Gala Yayasan AIDS Malaysia (MAF)-Berjaya Tun Dr Siti Hasmah, malam tadi.

Majlis kutipan derma amal itu akan dianjurkan MAF pada 14 Dis ini di ibu negara.

Majlis itu akan mengiktiraf individu dan organisasi yang menunjukkan keberanian, komitmen dan dedikasi dalam mewujudkan impak berkesan terhadap komuniti yang terjejas akibat HIV dan AIDS.

Pemenang Anugerah Tun Siti Hasmah akan diumumkan pada majlis itu. Mereka akan menerima hadiah wang tunai RM20,000 dan sebuah trofi eksklusif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.