Aktiviti seksual, remaja semuda 13 tahun kena HIV

Aktiviti seksual, remaja semuda 13 tahun kena HIV

135,035 pesakit HIV direkodkan bermula 1986 hingga 2023 dengan 54,365 dijangkiti akibat transmisi seksual.

Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia dan Yayasan Aids Malaysia, Dr Zaiton Yahaya, berkata kebanyakan remaja terkena jangkitan HIV kerana kegiatan seksual. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Remaja semuda 13 tahun dijangkiti HIV akibat aktiviti seksual, selain gejala itu turut menyumbang peningkatan jangkitan dalam kalangan penuntut universiti dan pelajar sekolah.

Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF), Dr Zaiton Yahaya, berkata kebanyakan mereka berusia 20 hingga 29 tahun antara 44% golongan dikesan mendapat jangkitan HIV.

“Bagi pelajar sekolah berusia 13 hingga 19 tahun pula, empat peratus daripada mereka disahkan mendapat HIV dengan kebanyakannya akibat kegiatan seksual.

“Golongan tertinggi adalah remaja lepasan sekolah dan universiti, mereka tidak mengetahui risiko jangkitan, namun kes jangkitan HIV akibat dadah dilihat makin berkurangan disebabkan kita kerap melakukan program kesedaran bahaya berkongsi jarum suntikan,” katanya menurut Berita Harian di Kuala Lumpur.

Katanya, berikutan jangkitan HIV akibat seksual semakin tinggi, pihaknya meningkatkan program kesedaran supaya pesakit tahu di mana mahu mendapatkan bantuan.

Berdasarkan statistik terbaru Kementerian Kesihatan, 135,035 pesakit HIV direkodkan bermula 1986 hingga 2023 dengan 54,365 dijangkiti akibat transmisi seksual.

Lebih mengejutkan, lapan jangkitan baharu HIV membabitkan bawah usia 13 tahun.

Rekod terbaru menunjukkan 62% jangkitan HIV adalah daripada golongan homoseksual dan biseksual, manakala 33% jangkitan daripada pasangan berlainan jantina.

Sementara itu, MAC dan MAF melancarkan ProtectNow Hub iaitu sebuah platform perkhidmatan digital pencegahan HIV pertama di Malaysia.

ProtectNow Hub dibangunkan hasil kerjasama pakar kesihatan awam, organisasi komuniti, dan golongan belia.

Sejak mula diperkenalkan, platform itu menerima lebih 74,000 kunjungan yang memerlukan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses, selamat dan berorientasikan komuniti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.