
Dr Hartini Zainudin, pengasas Yayasan Chow Kit – sebuah NGO yang menyokong kanak-kanak dan remaja berisiko menerusi pendidikan dan pelbagai program – berkata terdapat kepercayaan umum bahawa pendidikan seks akan ‘menjadikan kanak-kanak lebih cenderung terlibat hubungan rambang’.
Bagaimanapun, Hartini, yang sebelum ini mendakwa aktiviti seksual dalam kalangan remaja bawah umur adalah masalah terselindung dan banyak dipengaruhi media sosial dan pengaruh rakan sebaya, kanak-kanak sebenarnya bukan sengaja mencari seks.
“Mereka mencari hubungan, keselamatan dan kawalan dalam kehidupan yang penuh trauma atau pengabaian.

“Kanak-kanak terjebak dalam tingkah laku berisiko kerana ingin didengar dan dihargai. Tetapi kita cepat menghukum sebelum memahami beban yang mereka tanggung,” katanya kepada FMT.
Hartini mengulas laporan berita mengenai hubungan seks bawah umur di Kelantan.
Ketua Polis Negeri, Yusoff Mamat, menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes rogol dan sumbang mahram membabitkan remaja bawah umur, dengan ada kes melibatkan kanak-kanak perempuan seawal usia 10 tahun dan lelaki seawal 11 tahun.
Tahun lalu, sebanyak 252 kes dilaporkan, meningkat daripada 206 kes pada 2023. Yusoff turut memaklumkan bahawa 98% daripada kes itu melibatkan hubungan secara suka sama suka.
Madeleine Yong, pengasas bersama NGO Power of Play yang menyediakan terapi kepada kanak-kanak teraniaya, berkata walaupun pendidikan seks sudah lama dimasukkan dalam silibus kebangsaan, ia tidak diajar dengan betul.

Katanya, pendekatan yang digunakan sering bersifat moralistik, kabur dan disampaikan dengan nada penuh rasa malu.
Jika dilaksanakan dengan betul, kata Yong, pendidikan seks dapat memperkasakan kanak-kanak memahami konsep keizinan dan keselamatan tubuh badan, menolak penderaan dan paksaan, membina hubungan sihat dengan rakan sebaya, serta menangkis mitos bahaya daripada media dan pengaruh rakan sebaya.
“Apabila perbualan tentang tubuh, hubungan dan keselamatan dikelirukan, kita kehilangan peluang untuk membina celik emosi dan pemikiran kritikal. Kanak-kanak pula keluar daripada perbualan itu dengan rasa keliru dan malu, bukan dengan kefahaman,” katanya.
Bekas pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam, Noor Aziah Mohd Awal, turut berkongsi kebimbangan sama dan berkata walaupun kementerian pendidikan mendakwa pendidikan seks sudah menjadi sebahagian daripada kurikulum, ‘tidak banyak yang dilaksanakan kerana topik itu dianggap tabu’.

Menurutnya, tiada masalah dari sudut agama Islam untuk memperkenalkan pendidikan seks kepada kanak-kanak.
“Dalam Islam, ibu bapa wajib mengajar anak tentang harga diri, maruah dan menjaga nama baik keluarga. Anak-anak perlu diberi maklumat tentang bahaya yang boleh menimpa mereka jika mereka melakukan sesuatu perkara.”
Beliau juga berkata keinginan seksual adalah sebahagian fitrah manusia, tetapi kanak-kanak perlu dibimbing untuk menguruskan naluri itu dengan betul serta memahami perubahan fizikal dan emosi yang berlaku ketika akil baligh.
Noor Aziah turut menolak dakwaan bahawa pendidikan seks menggalakkan keruntuhan moral, sebaliknya berkata: “Semakin banyak ia dibincangkan, semakin kurang rasa ingin tahu dalam diri anak-anak.”