Ajak anak lakukan seks, duda dipenjara 2 tahun

Ajak anak lakukan seks, duda dipenjara 2 tahun

Tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan anak tunggal perempuannya di sebuah rumah di Batu Pahat 4 petang 16 Jun lalu.

mahkamah muar
Mahkamah Sesyen Muar turut menjatuhkan hukuman dua sebatan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah mengajak anak kandungnya melakukan hubungan seks Isnin lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan kepada seorang bapa yang mengaku bersalah mengajak anak kandungnya melakukan hubungan seks Isnin lalu.

Berita Harian melaporkan, duda berusia 47 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tertuduh dijalankan berasingan.

Tertuduh bekerja sendiri yang mempunyai hubungan amanah sebagai bapa kandung, didakwa berkomunikasi secara seksual dengan anak tunggal perempuannya berusia 14 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat pada 4 petang 16 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (1) (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Seksyen 11 (1) (a) membawa hukuman penjara hingga tiga tahun, manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan dua sebatan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga ibu saudara mangsa meminta anaknya mengambil remaja itu di rumah bapa kandungnya selepas mangsa memaklumkan dia ketakutan dan bimbang lelaki itu mahu melakukan perkara tidak elok terhadapnya selepas mengajak melakukan hubungan seks.

Pada hari kejadian, mangsa menolak pelawaan tertuduh sebelum keluar dari bilik tidur bapanya.

Dalam kes berasingan di mahkamah sama, seorang pemandu lori berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara isterinya di Batu Pahat.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dan menetapkan 23 Julai ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam, selain syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan, terutama mangsa.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.