Beratus lagi pekerja syarikat media akan hilang kerja minggu ini

Beratus lagi pekerja syarikat media akan hilang kerja minggu ini

Sumber berkata, kakitangan mengadu pihak pengurusan tidak memberi notis secukupnya seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Utusan Melayu yang diasaskan pada 1939 berhenti operasi pada 9 Okt lalu selepas lembaga pengarahnya meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang.
PETALING JAYA:
Kira-kira 600 pekerja dalam sebuah kumpulan berkaitan media terbesar di Malaysia akan diberhentikan Jumaat ini, separuh daripadanya ialah kakitangan akhbar harian, kata seorang sumber dalaman syarikat itu.

Tetapi, katanya, pihak pengurusan yang berjanji akan berbincang dengan wakil kesatuan sekerja pada Oktober lalu, belum berbuat demikian.

“Mereka mempunyai tarikh akhir untuk tampil dengan satu senarai pemberhentian. Tinggal 2 hari lagi, tetapi kesatuan sekerja belum dihubungi.

“Undang-undang buruh menetapkan mereka yang terjejas perlu dimaklumkan,” kata sumber kepada FMT.

Difahamkan, ratusan pekerja yang akan kehilangan kerja meliputi pelbagai peringkat dan mereka tiada pilihan untuk merayu apabila surat menamatkan perkhidmatan diberikan kepada mereka.

Sebelum ini, beberapa syarikat media menutup atau mengecilkan operasi mereka yang menyebabkan ribuan orang kehilangan kerja sejak 3 tahun lalu.

Utusan Melayu yang diasaskan pada 1939 berhenti operasi pada 9 Okt lalu selepas lembaga pengarahnya meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang.

Ia selepas Utusan Melayu mengumumkan pelepasan 70% pegangan dalam anak syarikatnya, Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, pemegang saham utama Media Prima Berhad.

Awal bulan lalu, Media Prima yang memiliki New Straits Times Press dan beberapa saluran televisyen, mengumumkan pengurangan pekerja yang menjejaskan ribuan orang.

Katanya, ia sebahagian daripada “penstrukturan semula” yang akan selesai pada suku pertama tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.