
Menerusi maklum balas kepada FMT, syarikat itu berkata pihaknya tidak dapat memberi angka tepat mengenai pekerja terjejas kerana proses pekerjaan tempatan yang berbeza di seluruh dunia.
Bagaimanapun, TikTok menjangkakan ratusan pekerja akan terjejas di seluruh dunia.
Jurucakapnya berkata, keputusan itu selaras usaha berterusan platform terbabit untuk meningkatkan keupayaan penyederhanaan kandungannya.
“Kami menjangkakan untuk melabur USD2 bilion secara global dalam amanah dan keselamatan pada 2024 sahaja dan terus meningkatkan keberkesanan usaha kami, dengan 80% kandungan yang melakukan pelanggaran kini dialih keluar oleh teknologi automasi.”
Semalam, media melaporkan TikTok yang dimiliki firma China ByteDance, memberhentikan ratusan pekerja di unitnya di Malaysia.
Memetik sumber, laporan menunjukkan lebih 500 individu menerima e-mel penamatan, dengan kebanyakannya bekerja dalam peranan penyederhanaan kandungan pada platform.
Pada Mei, CNN melaporkan TikTok merancang untuk mengurangkan sebahagian besar operasi global dan tenaga kerja pemasarannya.
Pemberhentian global pada masa itu menjejaskan pasukan yang bertanggungjawab untuk sokongan pengguna, komunikasi, kandungan dan pemasaran.
Pada Jun, Bloomberg melaporkan ByteDance memberhentikan 450 kakitangan di unit Indonesianya berikutan pemerolehan firma e-dagang tempatan, yang disepadukan ke dalam operasi TikTok.
Pada bulan sama, firma China itu mengumumkan rancangan untuk melabur RM10 bilion di Malaysia bagi mewujudkannya sebagai hab serantau untuk kecerdasan buatan (AI).