Media mesti beralih ke arah kepimpinan pemikiran dalam era AI

Media mesti beralih ke arah kepimpinan pemikiran dalam era AI

Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar berkata, organisasi media tak boleh abai perubahan radikal dalam cara kandungan dihadam pengguna.

Azeem Abu Bakar
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Rafiq Razali (kiri) bersama Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar pada D-Conference 2025 semalam.
PETALING JAYA:
Ketika kecerdasan buatan (AI) terus mencorakkan semula landskap media, organisasi berita perlu berevolusi menjadi peneraju pemikiran agar kekal relevan dan tidak ketinggalan, kata Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar.

Bercakap pada D-Conference 2025 anjuran Persatuan Digital Malaysia semalam, Azeem berkata, organisasi media tidak boleh mengabaikan perubahan radikal dalam cara kandungan dihadam oleh pengguna.

“Orang ramai kini semakin banyak menggunakan bantuan AI. Mereka tidak lagi mencari, sebaliknya akan bertanya (AI) … menjadikan petikan, bukan klik, sebagai ukuran pengaruh yang baharu.”

“Kita sedang beralih daripada permainan ‘trafik’ kepada ‘kepimpinan pemikiran’,” katanya.

Azeem berkata, platform AI semakin bergantung pada pelaporan asal.

“Banyak hasil AI sebenarnya datang daripada kita, penerbit. Kita terbitkan artikel, dan (pengguna) dapatkan daripada ChatGPT. Ini boleh jadi persaingan antara siapa yang lebih banyak dipetik (oleh platform AI),” jelasnya.

Azeem berkata, FMT sedang berusaha menyesuaikan strategi kandungannya agar serasi dengan model pembelajaran mesin.

Menurutnya, penggunaan pengoptimuman enjin AI yang semakin meluas untuk meningkatkan mutu kandungan dan pengalaman pengguna di pelbagai platform, menuntut perubahan pada cara kandungan dihasilkan.

“AI gemar kandungan berbentuk penerangan … format senarai berpoin,” katanya menambah, organisasi media mesti menyusun kandungan dengan lebih berstruktur untuk memudahkan pemprosesan oleh AI.

Ahli panel lain menggesa agar AI diguna pakai dengan lebih berhati-hati.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Rafiq Razali menyuarakan kebimbangan mengenai isu harta intelek dan keselamatan jenama.

“Perkara yang paling merisaukan saya adalah bagaimana hasil kerja warga organisasi saya boleh digunakan untuk melatih model-model AI berskala besar tanpa sebarang pengiktirafan,” kata Rafiq, merujuk tindakan undang-undang oleh syarikat-syarikat media dan hiburan gergasi terhadap platform AI.

“Ada ketikanya, kita perlu undur setapak (dan berfikir): Adakah ini langkah yang betul?”

Ketua Komunikasi Korporat Karangkraf Sdn Bhd Nik Justin Nik Ariffin menyeru agar kepercayaan dan integriti kewartawanan sentiasa dipelihara.

“Kepercayaan ialah ‘mata wang’ kita. Kita mesti jaga dengan cermat,” katanya.

Menurut Nik Justin, penerbit kini perlu menghasilkan kandungan untuk dua kelompok khalayak yang sangat berbeza – pembaca konvensional yang menghargai kupasan mendalam, dan golongan natif digital yang mengutamakan kepantasan.

“Pengawasan manusia mustahak. Ketelusan tidak boleh dikompromi,” katanya.

Sementara itu, bercakap dari perspektif teknologi iklan, Pengarah Komersial Apac Teads Diogo Andrade memberi amaran tentang ancaman terhadap pengewangan dan kredibiliti yang ditimbulkan oleh laman web palsu dan bot menghantar komen janaan automatik.

Katanya, penting untuk terus membiayai kewartawanan yang dipercayai agar akauntabiliti terpelihara.

“AI generatif yang menghasilkan maklumat palsu tidak berdepan sebarang akibat, (namun) jika wartawan berbuat demikian, boleh kehilangan lesen,” kata Andrade.

Ketua Pegawai Operasi Star Media Group Lydia Wang menyimpulkan formula media baharu: kepercayaan, struktur, etika – dan kuasa untuk bertindak.

“Kita mesti lebih skeptikal terhadap kandungan. Jangan percaya bulat-bulat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.