Pemberhentian ratusan pekerja TikTok tak jejas operasi di Malaysia, kata Fahmi

Pemberhentian ratusan pekerja TikTok tak jejas operasi di Malaysia, kata Fahmi

Menteri komunikasi berkata jumlah pekerja yang terkesan 481 orang dan lebih 3,700 lagi tenaga kerja masih kekal bekerja.

fahmi fadzil
Menteri Fahmi Fadzil kata pemberhentian sebahagian tenaga kerja TikTok Malaysia dibuat berikutan penggunaan teknologi Al secara meluas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tindakan TikTok memberhentikan ratusan pekerjanya di Malaysia tidak akan menjejaskan operasi syarikat itu di negara ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata hasil pertemuannya dengan TikTok Malaysia semalam memaklumkan jumlah pekerja yang terkesan 481 orang dan lebih 3,700 lagi tenaga kerja masih bekerja di bawah firma itu.

“Malah TikTok akan membuka beberapa jawatan baharu dan menambah jumlah pekerja kerana ada beberapa perkhidmatan baharu yang akan mereka sediakan, termasuk pengkomputeran awan dan pusat data.

“TikTok memaklumkan di mana sahaja mereka beroperasi dan ada pasukan ‘moderation’ (kawalan). Memang jumlah pekerja dalam jabatan ini berkurangan tetapi tidak mendatangkan apa-apa kesan negatif kepada operasi mereka dan tidak menjejaskan hubungan kerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kesihatan Lembah Pantai di PPR Kerinchi.

Fahmi berkata pemberhentian sebahagian tenaga kerja TikTok Malaysia dibuat berikutan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (Al) secara meluas dalam melakukan saringan kandungan di platformnya.

“Maka pasukan yang telah mereka kurangkan saiznya dan diberhentikan pekerjanya adalah dalam kalangan pekerja yang membuat ‘moderation’ secara manual.

“Jadi, di sini kita lihat secara umum kerja-kerja yang mungkin bersifat repetitif dan manual, inilah jenis-jenis pekerjaan yang mungkin akan terkesan dengan penggunaan Al,” katanya.

Semalam, TikTok mengesahkan laporan pemberhentian pekerja di Malaysia sebagai sebahagian daripada pengurangan tenaga kerja global.

Jurucakapnya berkata, keputusan itu selaras usaha berterusan platform terbabit untuk meningkatkan keupayaan penyederhanaan kandungannya.

Kenyataan itu susulan laporan media bahawa TikTok yang dimiliki firma China ByteDance, memberhentikan ratusan pekerja di unitnya di negara ini.

Memetik sumber, laporan menunjukkan lebih 500 individu menerima e-mel penamatan, dengan kebanyakannya bekerja dalam peranan penyederhanaan kandungan pada platform.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.