
Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata mereka bersetuju memulakan rundingan dalaman mengenai cadangan itu, yang menerima sokongan meluas dalam Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean (AMM) hari ini.
“Bagi kami, setiap tahun kita perlu tukar utusan khas, kemudian kita perlu mula semula dan tiada penghujungnya. Jadi, kami bersetuju untuk meneliti (cadangan itu)…dan tiada siapa membantah.
“Ia hanya soal siapa yang akan menjadi utusan khas tetap, mungkin untuk tempoh tiga tahun,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu.
Mengikut amalan semasa utusan khas dilantik pengerusi Asean secara tahunan.
Sebagai pengerusi bagi 2025, Malaysia melantik Othman Hashim sebagai utusan kelima blok itu sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang mencetuskan krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar.
Ketika ditanya sama ada dasar tidak campur tangan Asean mengehadkan keupayaannya untuk menangani perang saudara di Myanmar, Mohamad menegaskan ‘cara Asean’ tidak bertujuan untuk mencampuri urusan dalaman negara anggota.
Namun, beliau berkata krisis Myanmar kini sudah merebak ke negara jiran.
“Kita kini perlu menangani jenayah rentas sempadan, pengubahan wang haram melalui penipuan pekerjaan, jutaan orang yang terpaksa berpindah dan krisis pelarian semakin meruncing.
“Malaysia sendiri sedang menangani 200,000 pelarian Rohingya.
“Kita bukan cuba mencampuri urusan mereka, tetapi perkara ini menjadi isu Asean,” katanya.