11 maut di Filipina akibat Taufan Kammuri

11 maut di Filipina akibat Taufan Kammuri

Polis berkata, 11 mangsa maut akibat renjatan elektrik, dihempap pokok dan serangan jantung.

Pihak berkuasa Filipina berkata, Taufan Kammuri diramal terus bergerak ke barat laut dengan kekuatan angin 20km sejam dan kemudian bergerak ke Laut China Selatan. (Gambar Reuters)
MANILA:
Sekurang-kurangnya 11 maut akibat taufan yang diiringi hujan lebat dan angin kencang sejak Isnin lalu menyebabkan selatan wilayah Luzon dan tengah Filipina turut terjejas, lapor agensi berita Xinhua memetik polis.

Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizikal dan Astronomi Filipina (PAGASA) berkata, Taufan Kammuri diramal terus bergerak ke barat laut dengan kekuatan angin 20km sejam dan kemudian bergerak ke Laut China Selatan.

PAGASA berkata, Kammuri membawa bersama angin kencang 100km sehingga 125km sejam di barat bandar Ambulong di wilayah Batangas.

Sementara itu, polis berkata, 3 maut di wilayah Camarines Sur, 2 di wilayah Sorsogon, 4 di wilayah Oriental Mindoro dan masing-masing seorang di wilayah Marinduque serta wilayah Leyte.

Katanya, punca kematian disebabkan terkena renjatan elektrik, dihempap pokok dan serangan jantung.

Timbalan Setiausaha Pertahanan, Ricardo Jalad merangkap pengarah eksekutif Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC), berkata Kammuri menjejaskan hampir 500,000 penduduk dari Luzon Tengah, rantau Bicol, wilayah timur dan rantau barat daya Tagalog.

Katanya, Kammuri merosakkan sekurang-kurangnya 38 rumah dan banjir di 8 kawasan serta 203 kawasan terputus bekalan elektrik.

“Sebanyak 18 jalan dan 3 jambatan dilaporkan turut terjejas.”

Katanya, 329 penerbangan domestik dan 192 penerbangan antarabangsa dibatalkan selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino menutup operasi selama 12 jam, dari 11 pagi hingga 11 malam semalam waktu tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.