Anak mati di UUM, mahkamah tolak saman bapa RM3 juta

Anak mati di UUM, mahkamah tolak saman bapa RM3 juta

Hakim Mohammad Johan Lee berkata plaintif gagal buktikan renjatan elektrik merupakan punca kematian Vinosiny R Sivakumar, 21.

Mahkamah mendapati R Sivakumar selaku plaintif gagal membuktikan kes terhadap UUM kerana amat bergantung kepada laporan bedah siasat pegawai kesihatan semata-mata dan pegawai itu bukan pakar perunding patologi forensik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak tuntutan ganti rugi hampir RM3 juta difailkan seorang ayah susulan kematian anak perempuannya di asrama Universiti Utara Malaysia (UUM) akibat renjatan elektrik, pada 2022.

Hakim Mohammad Johan Lee menolak tuntutan itu dengan kos RM5,000 selepas mendapati R Sivakumar selaku plaintif gagal membuktikan kes terhadap UUM.

Dalam penghakimannya, Johan berkata plaintif gagal membuktikan renjatan elektrik merupakan punca kematian Vinosiny R Sivakumar, 21.

“Plaintif amat bergantung kepada laporan bedah siasat yang disediakan oleh SP1 (pegawai perubatan) yang merumuskan punca kematian adalah akibat renjatan elektrik berdasarkan penemuan histopatologi dan kesan kecederaan pada buku lali si mati.

“Bagaimanapun, semasa pemeriksaan balas, penemuan SP1 mempunyai kelemahan asas apabila mengakui beliau telah membentuk pendapat awal kemungkinan renjatan elektrik pada 22 Mei 2022 iaitu sebelum melawat lokasi kejadian atau menyelesaikan siasatan,” katanya menurut Kosmo.

Selain itu, katanya, SP1 turut mengakui tidak menjalankan ujian forensik penting seperti ujian metalisasi.

“Beliau juga bersetuju bahawa ciri histopatologi yang disandarkannya iaitu pemanjangan nuklear bukanlah khusus untuk renjatan elektrik semata-mata dan boleh berlaku akibat trauma lain seperti lecuran haba. SP1 juga mengakui beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang elektrik,” katanya.

Hakim berkata, si mati turut didapati menghidap penyakit fibrosis miokardium yang meningkatkan risiko aritmia yang boleh membawa maut.

Katanya, mahkamah turut mendapati laporan berkenaan tidak boleh dijadikan sandaran kukuh kerana SP1 bukan pakar perunding patologi forensik serta mengendalikan kurang daripada lima kes renjatan elektrik sepanjang kerjayanya.

Pada masa sama, SP1 mengakui kesimpulan renjatan elektrik berkemungkinan berlaku apabila buku lali si mati tersentuh palang besi di bawah meja.

Katanya, SP1 secara jelas mengakui tiada kaitan renjatan elektrik daripada lampu dinding seperti didakwa dalam kes plaintif, selain palang besi itu hanya konduktor dan tidak boleh menjadi punca elektrik dengan sendirinya.

“Oleh kerana SP1 gagal mengenal pasti punca kebocoran elektrik, kesimpulan beliau kekal sebagai andaian semata-mata. Tambahan pula, defendan mengemukakan keterangan bebas yang meyakinkan daripada Suruhanjaya Tenaga yang menjalankan ujian menyeluruh pada 1 Jun 2022 dan merumuskan tiada kebocoran elektrik serta peranti keselamatan berfungsi dengan baik,” katanya.

Sivakumar diwakili peguam M Manoharan dan M Hariharan, manakala UUM diwakili peguam P Barvina dan Y Sathisharajah.

Sementara itu, peguam plaintif, Manoharan ketika ditemui selepas prosiding menyatakan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada esok.

Terdahulu, media melaporkan penuntut semester empat Sarjana Muda Perakaunan UUM itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di biliknya sebelum disahkan telah meninggal dunia pada 21 Mei 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.