Lelaki meninggal kena serangan jantung, bayi lemas tertindih lengan bapa

Lelaki meninggal kena serangan jantung, bayi lemas tertindih lengan bapa

Ibu bayi lelaki tiga bulan itu mendapati anaknya berada di bawah lengan suami.

baby bayi
Ibu mangsa, Azura Abdul Malik, 37, berkata bayinya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas didapati lemah berada di bawah lengan suami.
PETALING JAYA:
Bayi tiga bulan meninggal dunia dipercayai tertindih lengan bapanya yang sebelum itu maut disyaki terkena serangan jantung, dalam kejadian di Kampung Perigi Hang Tuah, Melaka, pagi tadi.

Mangsa lelaki, Nurul Efendy Ibrahim, lingkungan 30-an ditemui tidak sedarkan diri oleh isteri yang pulang ke rumah kira-kira 9.30 pagi, manakala bayi, dilihat berada di bawah lengannya.

Isteri, Azura Abdul Malik, 37, berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian suami dan bayinya.

“Saya terkejut apabila mendapati suami tidak sedarkan diri dan bayi kami berada di bawah lengannya.

“Saya tak jumpa kesan darah atau cedera dan terus hubungi pihak hospital untuk bantuan sebelum suami disahkan telah meninggal dunia di rumah,” katanya menurut Kosmo.

Tambahnya, ketika kejadian bayinya itu masih bernyawa, namun dalam keadaan lemah.

“Bayi kami meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.”

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Bukit Katil, Mohd Supian Md Dali, berkata panggilan kecemasan telah diterima daripada pihak hospital pada 9.58 pagi.

“Kami dimaklumkan terdapat satu mangsa lelaki berusia 30 tahun telah meninggal dunia di lokasi dan bayinya ketika mendapatkan rawatan di hospital.

“Pihak hospital mohon pasukan membuat pemeriksaan di kediaman tersebut sekiranya berlaku kebocoran gas, namun hasil siasatan lanjut mendapati mangsa mungkin maut akibat serangan jantung, jadi bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dibatalkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.