Warga Pakistan maut dihempap pokok di Mukah

Warga Pakistan maut dihempap pokok di Mukah

Kejadian berlaku ketika mangsa Muhammad Ishaq, 43, menunggang motosikal kira-kira 8.30 malam semalam.

pokok tumbang mukah
Beberapa anggota bomba berada di lokasi kejadian warga Pakistan dihempap pokok akibat ribut. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga Pakistan maut akibat dihempap pokok tumbang di Kuching susulan ribut dan hujan lebat malam tadi.

Kejadian berlaku ketika mangsa Muhammad Ishaq, 43, menunggang motosikal di Jalan Besar, Kampung Penat di Mukah, kira-kira 8.30 malam.

Jurucakap Pusat Gerakan Bomba (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.04 malam.

Katanya, mereka kemudiannya menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah ke lokasi yang terletak 13 kilometer dari balai.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 9.47 malam.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, menurut Berita Harian.

Dalam kejadian berasingan, seorang lagi wanita dan dua kanak-kanak dilaporkan cedera selepas kereta dinaiki dihempap pokok di Rumah Panjang Inyang, Batu 8, Sungai Ranan.

Jurucakap berkata pihaknya yang menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.03 malam itu bergegas ke lokasi bersama sepasukan anggota dari BBP Kanowit

“Setibanya di lokasi didapati sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah pikap jenis Toyota Hilux.

“Terdapat dua mangsa iaitu seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun terperangkap di dalam kenderaan itu.

“Seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun berjaya dikeluarkan oleh orang awam. Mereka kemudiannya dihantar ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum bomba tiba,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.