Penganjur ekspo tatu mohon maaf tunjuk model separuh bogel

Penganjur ekspo tatu mohon maaf tunjuk model separuh bogel

Blackout Trading 'mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti sepenuhnya atas kesulitan yang timbul' dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Peserta melihat seorang model menunjukkan tatunya pada Tattoo Malaysia Expo 2019 di Kuala Lumpur yang berlangsung dari 29 Nov hingga 1 Dis lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganjur sebuah ekspo tatu antarabangsa di Kuala Lumpur memohon maaf selepas gambar model separuh bogel dalam acara itu tersebar.

Blackout Trading yang menganjurkan Tattoo Malaysia Expo 2019 pada hujung minggu lalu, berkata ia “mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti sepenuhnya atas kesulitan yang timbul” dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

“Kami sekarang meminta kemaafan untuk kami membetulkan apa yang boleh.

“Percayalah, sejarah tidak akan berulang kerana kami sudah belajar daripada kesilapan dan akan kembali dengan lebih kuat,” kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Ekspo itu diadakan buat kali keempat, susulan Sabah International Tattoo & Culture Convention pada 2015 dan Sabah International Tattoo Convention pada 2016 serta 2017.

Ekspo yang disokong Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) – sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dihadiri peserta dari 35 negara.

Kementerian itu sudah meminta laporan penuh daripada MyCEB dan akan mengambil tindakan undang0undang jika ia tidak mematuhi syarat penganjuran.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi dilaporkan berkata, acara itu melanggar tatasusila Malaysia dan kementeriannya tidak pernah memberi kelulusan untuk acara peragaan separuh bogel.

Dengan menekankan kementerian itu dan MyCED tidak patut dipersalahkan atas kejadian itu, Blackout mengakui mereka gagal memberi pendedahan sepenuhnya mengenai aktiviti yang diadakan dalam acara itu.

“Kami akan menghormati keputusan yang dibuat kementerian serta MyCEB dan menerima kesan daripada kurangnya pendedahan oleh kami.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.