Kenaikan 70% kes denggi, Putrajaya akan kaji denda RM500 bagi syarikat binaan

Kenaikan 70% kes denggi, Putrajaya akan kaji denda RM500 bagi syarikat binaan

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sebanyak 118,416 kes dengan 164 kematian direkodkan tahun ini.

Kementerian Kesihatan berkata, jumlah kes denggi di Malaysia meningkat sebanyak 70% tahun ini berbanding tahun lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan mungkin mempertimbangkan untuk mengkaji semula denda RM500 ke atas syarikat pembinaan, jika nyamuk Aedes ditemui di tapak projek mereka, susulan peningkatan 70% kes denggi tahun ini berbanding tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sebanyak 118,416 kes dengan 164 kematian direkodkan.

Katanya, negara Asia lain seperti Singapura, Filipina, Kemboja, Vietnam, China, Taiwan dan Laos turut menyaksikan peningkatan kes denggi tahun ini.

“Peningkatan itu bukan di Malaysia saja, tetapi negara Asia lain juga,” katanya kepada Alice Lau (PH-Lanang) yang bertanya mengenai keadaan denggi di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, serta jumlah kematian yang dicatatkan.

Dengan membandingkan statistik sehingga 27 Nov lalu, Lee berkata, terdapat 69,849 kes denggi dengan 118 kematian tahun lalu dan peningkatan secara drastik turut berlaku di Sarawak dengan 2,310 kes dicatatkan tahun ini berbanding 600 tahun lalu.

Katanya, peningkatan kes denggi ada kaitan dengan tahap kebersihan, oleh itu rumah dan kawasan sekitar perlu sentiasa bersih serta kementeriannya akan melaksanakan penguatkuasaan dan meningkatkan kesedaran orang ramai.

Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kemudiannya bertanya jika Kementerian Kesihatan bercadang meminda undang-undang untuk menaikkan denda RM500 kerana mungkin terdapat takungan air di tapak pembinaan.

“Tiada kempen gotong-royong yang dapat menyelesaikan masalah itu.”

Lee berkata, mereka yang tinggal di kawasan luar bandar mungkin tidak mampu membayar denda sedia ada sebanyak RM500, tetapi kementeriannya akan mengkaji semula penalti bagi syarikat pembinaan dan kilang.

“Denda tidak dapat menyelesaikan semua masalah, tetapi kementerian akan mengkaji semula denda untuk syarikat pembinaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.