Selangor catat 2 kematian, 519 kes denggi

Selangor catat 2 kematian, 519 kes denggi

Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 8.3% berbanding 566 kes direkodkan minggu sebelumnya.

aedes
Exco Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata Petaling kekal daerah dengan kes tertinggi iaitu 178 kes, diikuti Klang (119 kes) dan Hulu Langat (92 kes). (Gambar Pixabay)
PETALING JAYA:
Sebanyak 519 kes demam denggi dan dua kematian dicatatkan di Selangor dari 18 hingga 24 Mei lalu, menurun 8.3% berbanding 566 kes direkodkan pada minggu sebelumnya.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin, berkata 11,003 kes denggi dilaporkan di Selangor sehingga minggu ini, menurun sebanyak 66% berbanding 21,316 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, angka kematian turut menunjukkan penurunan berbanding 11 kes dicatatkan tahun lalu.

Beliau berkata, Petaling kekal daerah dengan kes tertinggi iaitu 178 kes, diikuti Klang (119 kes) dan Hulu Langat (92 kes).

“Bagaimanapun, trend penurunan dicatatkan di beberapa daerah utama seperti Kuala Selangor (-24%), Klang (-16.2%) dan Gombak (-15.4%) berbanding minggu lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, jumlah lokaliti wabak aktif berkurangan kepada 190 lokaliti berbanding 192 minggu lalu dan lokaliti hotspot menurun kepada 13 berbanding 14.

“Kawasan paling banyak lokaliti wabak aktif masih tertumpu di Petaling (77 lokaliti), diikuti Klang (55) dan Hulu Langat (34).”

Beliau berkata, jumlah kes tertinggi di Klang iaitu 98 kes, diikuti Damansara (69 kes) dan Petaling (66 kes).

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik trend penurunan yang membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan komuniti.

Tetapi, beliau mengingatkan orang ramai terus berwaspada dan memastikan kediaman serta persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes, khasnya menjelang musim hujan.

“Kerjasama berterusan semua pihak amat penting untuk mengekalkan trend penurunan kes denggi ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.