Kes demam denggi meningkat, 2 kematian dicatat

Kes demam denggi meningkat, 2 kematian dicatat

Bilangan lokaliti titik panas denggi yang dilaporkan pada ME51 ialah 18 berbanding 27 pada minggu sebelumnya.

denggi
Pergerakan masyarakat yang meningkat sempena musim cuti kini juga menyebabkan demam denggi tersebar dengan mudah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Muhammad Radzi Abu Hassan. (Gambar Rawpixel)
PUTRAJAYA:
Jumlah kes demam denggi meningkat kepada 1,407 kes pada Minggu Epidemiologi ke-51 (ME51), iaitu antara 15 hingga 21 Dis lepas, berbanding 1,384 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Dalam kenyataan mengenai situasi demam denggi di Malaysia hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME51.

Katanya, jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME51 adalah 121,082 kes berbanding 120,418 kes bagi tempoh sama pada 2023.

“Terdapat 116 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 96 kematian bagi tempoh sama pada 2023,” katanya.

Muhammad Radzi berkata, bilangan lokaliti titik panas yang dilaporkan pada ME51 ialah 18 berbanding 27 pada minggu sebelumnya.

Daripada 18 lokaliti dilaporkan, katanya, sembilan terletak di Selangor; empat di Negeri Sembilan; tiga masing-masing di Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala masing-masing satu di Pahang dan Pulau Pinang.

Katanya, pergerakan masyarakat yang meningkat sempena musim cuti kini juga akan menyebabkan demam denggi tersebar dengan mudah, justeru sangat penting untuk memastikan kawasan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.