Kes demam denggi meningkat, catat 2 kematian

Kes demam denggi meningkat, catat 2 kematian

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan berkata 1,342 demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-49 berbanding 1,249 kes pada minggu sebelumnya.

aedes
Hujan berterusan dan sampah yang hanyut akibat banjir boleh menyebabkan bilangan bekas takungan air yang menjadi habitat nyamuk Aedes meningkat.(Gambar Pixabay)
PUTRAJAYA:
Sebanyak 1,342 kes demam denggi dan dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME49) berbanding 1,249 kes dan tiada kematian pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan berkata secara kumulatif, jumlah kes demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 118,291 kes dengan 111 kematian berbanding 114,365 kes dan 87 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

“Terdapat 32 lokaliti aktif hotspot yang dilaporkan pada ME49. Daripada 32 lokaliti, 18 lokaliti adalah di Selangor, empat lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing tiga di Negeri Sembilan dan Sabah serta masing-masing dua lokaliti di Pulau Pinang dan Perak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata hujan berterusan dan sampah yang hanyut akibat banjir boleh menyebabkan bilangan bekas takungan air yang menjadi habitat nyamuk Aedes meningkat.

“Oleh itu, adalah penting bagi masyarakat untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah pencegahan yang proaktif termasuk memastikan semua bekas berpotensi pembiakan segera dihapuskan dengan melaksanakan aktiviti gotong-royong sejurus selepas banjir surut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.