Banjir kilat berkait peraturan pembangunan lapuk, kata pakar

Banjir kilat berkait peraturan pembangunan lapuk, kata pakar

Bencana alam lebih kerap berlaku berikutan peningkatan pembangunan densiti tinggi yang terhasil daripada proses urbanisasi serta pergerakan manusia ke pusat bandar.

Menurut pakar, peraturan pembangunan lapuk dan aktiviti urbanisasi yang pesat merupakan faktor di sebalik peningkatan kejadian bencana alam seperti banjir kilat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar pengurusan bencana percaya peraturan pembangunan lapuk dan aktiviti urbanisasi yang pesat merupakan faktor di sebalik peningkatan kejadian bencana alam seperti banjir kilat.

Mohd Hafiz Mohd Amirol yang menangani usaha pengurangan risiko bencana di kawasan terdedah bencana berkata, masih wujud lompong dalam beberapa bidang prosedur pembangunan yang berkait dengan bahaya dan bencana semula jadi.

“Peraturan sedia ada tidak dapat menampung perubahan iklim yang berlaku. Secara umum, dasar dan peraturan pembangunan kita kurang maklumat tentang risiko atau tidak mengandungi unsur pengurangan risiko bencana.

Hafiz, yang merupakan seorang arkitek, mengetuai bahagian perancangan strategik persatuan Mercy Malaysia.

Beliau berkata, satu contoh peraturan lapuk adalah longkang monsun, yang menurutnya direka bentuk pada zaman kolonial dengan kapasiti hujan sangat lebat yang mungkin berlaku beberapa dekad sekali pada masa itu.

Mohd Hafiz Mohd Amirol.

“Sekarang ia berlaku hampir setiap tahun. Jadi aspek kejuruteraannya telah berubah dan iklim juga berubah.”

Sebahagian daripada negeri Kelantan dan Terengganu kini mengalami banjir berikutan monsun timur laut yang berlaku setiap tahun. Pada Dis 2014, lebih 24,000 orang di Kelantan dan 21,000 di Terengganu terpaksa dipindahkan akibat banjir.

Hafiz berkata, bencana alam kini berlaku dengan lebih kerap kerana peningkatan pembangunan densiti tinggi yang terhasil daripada proses urbanisasi, serta pergerakan manusia yang tertumpu ke pusat bandar.

Faktor ini mewujudkan tekanan ke atas alam sekitar dan sumber alam seperti air dan tanah.

“Apabila lebih ramai orang bertumpu di kawasan tertentu, maka kapasiti tampungan kawasan tu juga berubah. Keperluan sumber semula jadinya juga berubah dan ini akan turut menyumbang kepada kekerapan bencana alam yang berlaku.”

“Dunia telah mencapai tahap tepu. Kita harus meneroka cara hidup yang lebih inovatif,” katanya.

Berhubung pembangunan densiti tinggi beliau berkata, Pulau Pinang merupakan contioh terbaik.

Katanya, kegiatan pembangunan masih boleh dijalankan sekiranya ia dilakukan dengan cara lebih inovatif.

“Mungkin keputusan tentang penggunaan tanah perlu lebih bermaklumat berkenaan risiko. Terdapat kawasan yang tidak sepatutnya disentuh sama sekali.”

Katanya, penduduk di kawasan terdedah bencana di negara ini tidak dipersiapkan dengan pengetahuan yang mencukupi mengenai langkah kecemasan dan perlu diambil apabila banjir atau bencana berlaku berbanding masyarakat di Jakarta dan Filipina.

“Ia kurang kerana Malaysia tidak terlalu terdedah kepada bencana dan kita tidak mengambil perhatian serius tentangnya.”

Dalam pada itu beliau berkata, selain menyediakan perkhidmatan bantuan bencana, Mercy juga menganjurkan sesi latihan dengan masyarakat untuk mengajar mereka bagaimana untuk bertindak dan membuat persiapan dalam menghadapi bencana alam.

“Kita bukan sahaja perlu menjaga kebersihan atau membersihkan longkang, tetapi perlu bertanggunjawab ke atas masyarakat kita sendiri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.