
Penasihat Menteri Luar Thailand, Dusit Manapan, berkata cadangan itu melibatkan kerjasama kerajaan Myanmar, Asean, dan pertubuhan antarabangsa bawah Pusat Penyelarasan Asean bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre).
“Fasa pertama iaitu mencari dan menyelamat telah selesai. Kini kita memasuki fasa seterusnya, iaitu fasa pemulihan. Ia memerlukan lebih banyak sumber, serta usaha lebih intensif dari segi kewangan dan teknikal,” kata Dusit kepada FMT di luar Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan sidang berkaitan di sini.
“Kami sedang mempertimbangkan satu model yang sesuai dengan keperluan di kawasan terjejas di Myanmar.”
Namun, beliau juga memberi amaran keseluruhan proses dijangka panjang dan rumit memandangkan impak gempa bumi menjejaskan banyak kawasan secara serius.
Sebagai pengerusi Asean tahun ini, Malaysia mengetuai usaha kemanusiaan serantau di Myanmar, manakala Thailand, yang berkongsi sempadan dengan negara itu, sangat berkepentingan dalam pemulihannya berikutan kesan limpahan daripada krisis.
Usaha kemanusiaan di Myanmar kini dipantau rapi di tengah-tengah kebimbangan mengenai ketidakstabilan politik susulan rampasan kuasa tentera pada 2021.
Namun, pegawai menegaskan usaha semasa tertumpu semata-mata atas dasar kemanusiaan, dan terpisah daripada penglibatan politik blok itu dengan junta dan pihak berkepentingan lain.
Dusit turut mendedahkan, menteri luar Malaysia, Thailand dan Filipina merancang satu lawatan bersama ke Myanmar untuk menilai kesan usaha bantuan susulan gempa bumi yang melanda Myanmar Mac lalu.
Katanya, lawatan itu – yang dipersetujui semasa Persidangan Dasar Keselamatan Forum Serantau semalam – juga akan menjadi peluang untuk berinteraksi dengan kerajaan Myanmar mengenai isu politik yang mencabar.
“Kami berharap Asean dapat mengadakan perbincangan yang terus terang dan jujur dengan pemimpin kerajaan Myanmar mengenai isu sukar seperti pengumuman pilihan raya dan apa yang boleh kami minta Myanmar lakukan sebelum pilihan raya diumumkan,” katanya.
Ditanya mengenai Konsensus Lima Perkara (5PC) dimeterai Asean pada 2021 namun sehingga kini masih tertangguh, Dusit berkata: “Secara jujur, saya belum melihat banyak kemajuan dalam pelaksanaan 5PC.”
Beliau juga mempersoalkan langkah mengehadkan penglibatan peringkat tinggi bersama pemimpin tentera Myanmar, dengan berkata keengganan untuk berbincang hanya akan menyukarkan proses damai.
“Jika kita memilih untuk tidak berunding dengan mereka, bagaimana kita boleh capai sebarang hasil? Sebab itu saya rasa penglibatan adalah penting.
“Thailand percaya kepada penglibatan secara konstruktif. Kita mesti berinteraksi secara membina dengan semua pihak berkepentingan dan cuba bawa mereka ke meja rundingan,” katanya.