Kematian akibat banjir di Indonesia cecah 61 orang

Kematian akibat banjir di Indonesia cecah 61 orang

Air lumpur berarus deras membadai kediaman penduduk memaksa ribuan orang di Sumatra menyelamatkan diri.

Banjir melanda akibat Siklon Tropika Senyar menyebabkan ribuan orang terjejas. (Gambar EPA Images)
PADANG:
Anggota penyelamat bergegas menyelamatkan penduduk dari air lumpur berarus deras di Sumatera akibat siklon tropika luar biasa yang memusnahkan kediaman dan memaksa ribuan orang mendapatkan perlindungan.

Siklon itu melanda kawasan paling barat di kepulauan Indonesia,membadai Selat Melaka berhampiran dan mengakibatkan banjir serta tanah runtuh yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 61 kematian, menurut pihak berkuasa. Jumlah kematian dibimbang meningkat memandangkan hujan berterusan dan 100 penduduk masih tidak dapat dikesan.

Anggota penyelamat menggunakan helikopter untuk menghantar bantuan di utara pulau berkenaan, yang paling teruk terjejas dengan jalan raya terputus hubungan selain infrastruktur komunikasi musnah akibat tanah runtuh.

Jurucakap polis Ferry Walintukan berkata, 43 orang terbunuh di Sumatera Utara, sembilan di Sumatera Barat dan sembilan lagi di wilayah Aceh, menurut pihak berkuasa di kawasan berkenaan.

“Banjir melanda sekitar waktu subuh dan membadai rumah-rumah,” menurut seorang penduduk, Radi, kepada Reuters di Padang. Reuters melihat kereta terbalik akibat arus deras serta penduduk yang terperangkap dalam rumah mereka.

Yuyun Karseno, pegawai di agensi bencana di Sumatera Utara berkata bekalan elektrik dan komunikasi terputus termasuk ke kawasan yang paling teruk terjejas.

Dua belas ribu orang telah dipindahkan dan ramai lagi masih menantikan bantuan.

Rakaman video dikongsikan radio Elshinta di media sosial menunjukkan seorang mangsa banjir membawa bayi dalam bekas plastik di Tapanuli.

Ilham Wahab, pegawai bencana di barat Sumatera berkata angka kematian mungkin menungkat susulan jambatan runtuh dan hujan berterusan pada Khamis.

Ketua kerajaan tempatan Tapanuli Masinton Pasaribu berkata pembalakan haram dan pembersihan tanah untuk penanaman sawit menerukkan banjir dan tanah runtuh.

Asia Tenggara mengalami bencana cuaca teruk minggu ini. Lebih 30 orang maut akibat banjir di Thailand dan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.