
Jumlah mangsa banjir di Selangor menunjukkan sedikit penurunan, manakala situasi di Pahang kekal tidak berubah setakat 3 petang.
Di Pulau Pinang, pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir, iaitu SK Permatang Pasir di daerah Seberang Perai Tengah, ditutup 11 pagi tadi selepas semua lapan mangsa dibenarkan pulang ke rumah.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 10,578 orang daripada 4,016 keluarga berbanding 9,615 pagi tadi.
Mereka ditempatkan di 63 PPS di sembilan jajahan terjejas, iaitu Kota Bharu; Tumpat; Bachok; Pasir Puteh; Pasir Mas; Tanah Merah; Machang; Kuala Krai; dan Gua Musang.
Berdasarkan laman web Infopublic Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di beberapa sungai utama di Kelantan terus menunjukkan peningkatan dengan beberapa stesen merekodkan bacaan melepasi tahap amaran dan bahaya setakat 3 petang.
Paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang, meningkat kepada 9.31m, melepasi tahap bahaya 9m, manakala paras air di Kampung Jenob berada pada 23.67m, melepasi tahap bahaya 23.50m.
Turut mencatatkan peningkatan ialah Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang yang merekodkan paras air 59.66m, melepasi tahap bahaya 59m, dengan trend menaik.
Di Perlis, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,370 orang dengan penambahan satu lagi PPS setakat 3 petang, berbanding 6,087 mangsa yang ditempatkan di 20 PPS pagi tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis memaklumkan kawasan banjir melibatkan Padang Besar, Arau dan Kangar.
Di Perak, jumlah mangsa banjir di lapan daerah di negeri itu meningkat kepada 4,739 orang daripada 1,469 keluarga, berbanding 4,345 orang pagi tadi yang berlindung di 44 PPS.
Daerah Manjung kekal dengan jumlah mangsa tertinggi, seramai 1,830 orang, manakala Perak Tengah mencatat 1,415 mangsa, 509 di Bagan Datuk; 647 di Hilir Perak; 101 di Muallim; 165 di Larut Matang dan Selama; 69 di Kuala Kangsar; serta tiga di Batang Padang.
Di Kedah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,101 orang daripada 1,058 keluarga setakat 3 petang, berbanding 3,049 orang pagi tadi, dengan Pokok Sena menjadi daerah baharu terjejas akibat bencana itu.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, jumlah mangsa dari daerah itu yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Pokok Sena masih dalam bancian, sementara daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi melibatkan 2,299 orang dan Kota Setar (802).
Laman web Infopublic Banjir JPS memaklumkan sembilan sungai di Kedah telah melepasi tahap bahaya, termasuk Sungai Anak Bukit dengan 3.37m; Sungai Padang Terap (4.55m); Sungai Bata (11.106m); Wang Tepus (10.195m); dan Sungai Baru (2.018m).
Di Terengganu, hujan berterusan sejak semalam menyebabkan mangsa banjir meningkat kepada 2,525 orang daripada 800 keluarga petang ini, berbanding 153 mangsa pagi tadi, yang ditempatkan di 33 PPS.
Berdasarkan laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), enam daerah terjejas banjir dengan Marang menjadi daerah paling terkesan melibatkan 1,603 mangsa.
Sementara itu, seramai 477 mangsa terjejas di Setiu; 199 di Besut; 108 di Kuala Terengganu; 79 di Dungun; dan 59 di Hulu Terengganu.
Tiga sungai di negeri itu berada pada paras bahaya, iaitu Sungai Setiu dan Sungai Chalok di Setiu, serta Sungai Besut di Besut.
Di Selangor, jumlah mangsa menurun kepada 2,359 orang daripada 612 keluarga, berbanding 2,773 orang pagi tadi, dengan empat daripada 23 PPS telah ditutup.
Empat PPS yang ditutup terdiri daripada Dewan Bakawali Seksyen 35 dan Dewan MBSA Jati Kampung Sungai Kandis di Klang, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil di Sepang dan SK Sultan Abdul Aziz di Kuala Selangor.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir kekal 19 orang daripada lapan keluarga dengan kesemuanya ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis.