
Najib berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiba-tiba mengenakan cukai tambahan ke atas TNB, atas alasan syarikat berkenaan tidak membayar cukai mencukupi untuk tempoh 2 tahun, dari tahun 2015 hingga 2017.
“Sebagai sebuah syarikat yang disenarai, TNB membayar cukai berbilion ringgit setiap tahun. Macam mana pula TNB boleh tiba-tiba dituduh tidak membayar cukai yang mencukupi,” katanya di Facebooknya, hari ini.
Najib sebelum itu memetik laporan portal TheEdgeMarkets yang menyatakan, saham TNB merosot 1.75% pagi ini selepas syarikat berkenaan menerima notis penilaian tambahan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM3.98 bilion untuk tahun 2015 hingga 2017.
Pada 9.15 pagi, saham TNB jatuh 24 sen kepada RM13.48 untuk permodalan pasaran sebanyak RM76.66 bilion.
Najib berkata, keuntungan diperoleh TNB bagi keseluruhan tahun 2018 adalah sebanyak RM3.72 bilion.
“Jadi, apakah ia bermaksud TNB tidak memerlukan keuntungan bagi tahun 2019, selepas membayar cukai tambahan RM3.98 bilion.
“Kalau tidak untung, TNB tidak bayar dividen. Dividen pula dibayar kepada siapa? Ia dibayar kepada pemegang saham yang kebanyakannya adalah tabung-tabung rakyat.
“Antaranya seperti Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Bumiputera, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan unit Amanah,” katanya.
Najib mendakwa, langkah menteri kewangan yang bertindak secara tiba-tiba mengenakan cukai tambahan RM3.98 bilion ke atas TNB adalah sama seperti tindakan merompak dividen dan simpanan rakyat.